
Sehubungan itu, Presiden Pertubuhan Al-Sirath Malaysia Mohd Redzhuan Mohd Yusof menggesa pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan untuk melindungi generasi masa depan.
Dakwanya, akses mudah melalui kedai fizikal dan platform dalam talian menunjukkan pemantauan sedia ada masih lemah, sekali gus membuka ruang penularan dadah sintetik.
“Usia paling muda yang kami kesan mendapatkan vape perisa ‘mushroom’ sekitar 10 hingga 11 tahun.
“Sebelum ini, cecair vape itu dijual sekitar tiga titik pada harga RM10. Harga sebotol pula dianggarkan antara RM60 hingga RM600, bergantung kepada kandungan dan saiz,” katanya kepada FMT.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi tepat kes dikesannya terbabit.
Kebimbangan terhadap penularan vape berbahaya itu meningkat susulan kes seorang remaja perempuan di bawah pengaruh vape jenis ‘mushroom’ yang bertindak menggelar leher dan pergelangan tangannya, minggu lalu.
Remaja berusia 14 tahun itu dikatakan berang dihalang ibu angkatnya daripada bertemu teman lelaki di rumah di Jonker Walk.
Semalam, Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sumber bekalan vape mushroom dipercayai diperoleh suspek.
Sementara itu, Presiden Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (Masac), Ahmad Lutfi Abdul Latiff, berkata penularan bahan psikoaktif baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) melalui cecair vape kini menjadi ancaman serius kepada kesihatan awam.
Beliau berkata, bahan sintetik itu semakin popular dalam kalangan remaja kerana mudah disorok dalam peranti vape, murah dan boleh memberi kesan halusinasi walaupun digunakan dalam kuantiti kecil.
“Sifatnya yang tidak berbau dan mudah disembunyikan dalam peranti vape menjadikannya sukar dikesan.
“Struktur kimianya pula sentiasa berubah-ubah, menyebabkan dadah sintetik ini tidak mudah dikenal pasti melalui ujian saringan air kencing biasa,” katanya.
Ahmad Lutfi berkata, kesan bahan kimia buatan makmal itu boleh menjadi lebih berbahaya berbanding dadah tradisional kerana berisiko menjejaskan sistem saraf serta menyebabkan gangguan mental serius seperti psikosis akut, paranoia dan kecenderungan mencederakan diri.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh lagi bergantung kepada penguatkuasaan fizikal semata-mata kerana sindiket kini turut bergerak melalui media sosial dan platform e-dagang.
Tambahnya, pemantauan siber perlu diperkukuh, selain pindaan terhadap Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan analog kimia baharu diisytiharkan haram dengan lebih pantas.