JAS buat lebih 5,000 pemeriksaan alam sekitar, rekod denda RM4.59 juta

JAS buat lebih 5,000 pemeriksaan alam sekitar, rekod denda RM4.59 juta

Ia berkata sebanyak 3,149 tindakan penguatkuasaan susulan diambil terhadap pihak yang tidak patuh Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Jabatan Alam Sekitar, sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, JAS telah menerima sebanyak 6,252 aduan pencemaran alam sekitar dan setiap aduan disiasat mengikut tempoh piagam pelanggan ditetapkan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan lebih 5,000 pemeriksaan di seluruh negara serta merekodkan denda terkumpul RM4.59 juta melibatkan kes pencemaran alam sekitar bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

JAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 5,074 pemeriksaan dijalankan di 4,339 premis yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dalam tempoh 1 Januari hingga 30 April lepas.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan melibatkan pelbagai sektor industri termasuk kilang minyak kelapa sawit mentah, kilang getah asli mentah, kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual, loji rawatan kumbahan serta industri lain yang berisiko mencemarkan alam sekitar.

“Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan, JAS telah mengambil sebanyak 3,149 tindakan penguatkuasaan susulan terhadap pihak yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” menurut kenyataan itu.

Tindakan penguatkuasaan tersebut merangkumi 1,587 Notis Arahan, 1,369 kompaun, 44 tindakan penahanan operasi kelengkapan, dua tindakan gantung lesen, 18 Perintah Larangan serta 129 kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan.

“Selain itu, sebanyak 148 kesalahan telah selesai pendakwaan di mahkamah dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM4,598,500 serta hukuman penjara sehari,” menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh sama, JAS turut melaksanakan 1,906 operasi penguatkuasaan bagi pelepasan asap kenderaan bermotor membabitkan pemeriksaan terhadap 137,722 kenderaan di seluruh negara, selain menjalankan 811 pemeriksaan bagi projek yang mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Dalam usaha mengekang kemasukan haram buangan terjadual ke negara ini, JAS memaklumkan sebanyak 51 operasi pemeriksaan telah dilaksanakan di pelabuhan utama melibatkan pemeriksaan terhadap 702 kontena yang disyaki membawa buangan terjadual.

“Hasil pemeriksaan mendapati 427 kontena mengandungi buangan terjadual termasuk buangan elektrik dan elektronik.

“Susulan itu, sebanyak 73 Notis Arahan telah dikeluarkan bagi mengarahkan kontena terbabit dihantar keluar dari Malaysia, setakat ini 53 kontena telah berjaya dipulangkan ke negara asal,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pemantauan terhadap isu pembakaran terbuka dipertingkatkan dengan 3,237 siasatan berkaitan pembakaran terbuka telah dijalankan dalam tempoh berkenaan di seluruh negara termasuk terhadap 494 titik panas (hotspot) yang telah dikesan dan disyaki berlaku pembakaran.

Menurut JAS, penggunaan teknologi turut diperkasakan melalui 409 penerbangan dron bagi tujuan pemantauan dan pengawasan pencemaran alam sekitar secara lebih berkesan dan strategik serta dalam membantu siasatan dan penguatkuasaan.

“Sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, JAS telah menerima sebanyak 6,252 aduan pencemaran alam sekitar, dan setiap aduan disiasat mengikut tempoh piagam pelanggan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.