Pegawai SB didenda RM10,000 terima wang tunai

Pegawai SB didenda RM10,000 terima wang tunai

Hakim berkata Nazli Mohamed mengambil kesempatan ke atas keluarga yang terdesak mahu membawa pulang anak mereka dari Syria.

kompleks mahkamah kuala terengganu
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan denda RM10,000 atas alasan ini kesalahan pertama pegawai Cawangan Khas itu yang digantung tugas sejak 2020.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai Cawangan Khas (SB) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana menerima wang tunai daripada seorang lelaki untuk membantu membawa pulang anaknya dari Syria melalui saluran tidak rasmi.

Nazli Mohamed berdepan lima pertuduhan menerima RM10,500 tanpa balasan daripada Zaid Jusoh antara 22 Mei dan 29 Dis 2018 di sekitar Besut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Azhar Othman memutuskan Nazli gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap lima pertuduhan dihadapinya.

Hakim turut mendapati Nazli mereka cerita berhubung pemberi maklumat di Syria dan mendakwa ke Turki untuk membawa pulang anak lelaki Zaid.

Anak Zaid meninggalkan rumah pada 2015.

“Tertuduh mengambil kesempatan ke atas keluarga terdesak (yang mahu membawa pulang anak mereka) dan si bapa percaya dia sepenuhnya,” kata Azhar.

Mahkamah turut menolak pembelaan Nazli bahawa RM10,500 daripada Zaid adalah bayaran untuk “makanan tambahan kesihatan” dan “pinjaman” kerana tiada dokumen sokongan dikemukakan untuk menyokong dakwaan itu.

Azhar menjatuhkan denda RM10,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda, atas alasan ini kesalahan pertama Nazli yang digantung tugas sejak 2020.

Katanya, pegawai Cawangan Khas itu akan menimang cahaya mata ketiganya tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.