Pemandu ambulans didakwa bunuh kanak-kanak 2 tahun

Pemandu ambulans didakwa bunuh kanak-kanak 2 tahun

Tertuduh, Muhammad Iqbal Fitri Mazlan, 29, didakwa membunuh Mohamad Hayder Abdul Mukmin di Taman Seberang Temerloh Indah 2A, 11 Mei lalu.

mahkamah temerloh
Tertuduh, Muhammad Iqbal Fitri Mazlan, 29, didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu ambulans didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang sebelum ini menjadi mangsa kes penderaan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Iqbal Fitri Mazlan, 29, yang didakwa di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan, menurut Berita Harian.

Ini kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Mohamad Hayder Abdul Mukmin di sebuah rumah di Taman Seberang Temerloh Indah 2A, pada 9 pagi, 11 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 1 September 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes itu sebelum ini disiasat sebagai kes penderaan kanak-kanak selepas mangsa berusia dua tahun empat bulan dibawa ke Hospital Temerloh dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, siasatan diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tumpul di kepala.

Tertuduh dan ibu mangsa kemudiannya ditahan di di Tanah Perkuburan Pengkalan Manggis, Temerloh pada 20 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Tertuduh yang juga teman lelaki kepada ibu mangsa ditahan susulan siasatan lanjut berhubung kematian kanak-kanak berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.