Pukul isteri enggan beri wang beli dadah, lelaki dipenjara 4 bulan

Pukul isteri enggan beri wang beli dadah, lelaki dipenjara 4 bulan

Tertuduh Faizzul Ridwan Ab Rahman dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

gavel
Tertuduh, Faizzul Ridwan Ab Rahman, 36, dijatuhi penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya sehingga cedera. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang pengawal keselamatan dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya sehingga cedera, dalam kejadian Ahad lalu.

Tertuduh, Faizzul Ridwan Ab Rahman, 36, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas dia membuat pengakuan terhadap pertuduhan, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 41 tahun di sebuah kediaman di Jalan Damai, Kampung Paya Rumput, Melaka Tengah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu sekitar jam 8 pagi Ahad lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan di bawah seksyen berkenaan jika melibatkan pasangan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah meminta wang daripada isterinya untuk membeli dadah namun ditolak kerana pengadu tidak mempunyai wang.

Tertuduh kemudian telah menggunakan telefon isterinya itu untuk menghubungi ibu dan adik kandungnya untuk meminjam wang namun tidak dilayan keluarganya itu yang mematikan panggilan.

Sebelum itu, tertuduh menendang isterinya di bahagian paha kerana wanita itu enggan bercakap dengan ibunya untuk meminjamkan wang selain memaksa pengadu keluar mencari wang RM100 untuk dia membeli dadah.

Tertuduh turut mengarahkan isterinya itu membayar denda RM1,000 bagi kes dadah dihadapinya yang masih dalam perbicaraan selain mengugut mahu membakar motosikal pengadu jika tidak berbuat demikian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek.

Nur Zaidah mencadangkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana sebagai suami, dia sepatutnya menjadi pelindung bukan menyakiti isterinya itu.

Izzuddin bagaimanapun memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 dan menanggung dua anak.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkap Ahad lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.