
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, kerajaan negeri mampu menangani keadaan di Sabah, terutama melibatkan wabak Covid-19.
“Saya sokong sepenuhnya keputusan dibuat kerajaan negeri dan Ketua Menteri Hajiji Noor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, keputusan berkaitan dengan kesejahteraan rakyat Sabah tidak patut dibuat oleh birokrat yang tidak berada di sini dan tidak memahami sepenuhnya keadaan di Sabah.
Terdahulu, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk dua Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin serta Jeffrey Kitingan, menyatakan sokongan terhadap Hajiji berhubung isu itu.
Ini susulan peringatan daripada Putrajaya bahawa semua negeri mesti mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19. Ini termasuk larangan duduk makan di restoran.
Hajiji pada Isnin mengumumkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi akan dibenarkan, termasuk duduk makan di restoran serta hotel, manakala kedai gunting rambut dan gerai tepi jalan menjual sayur, ikan serta buah-buahan boleh beroperasi.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, semua negeri perlu mematuhi peraturan ditetapkan MKN sepanjang negara ini di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) terkini.
Beliau berkata, perlu ada prosedur standard untuk seluruh negara, seterusnya negeri-negeri tidak patut mewujudkan peraturan sendiri.
Susulan itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata negeri itu menyerahkan SOP baharu bagi fasa pertama PKP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada kerajaan persekutuan.
Dalam kenyataannya hari ini, Anifah berkata tidak adil untuk Sabah, yang hanya mempunyai 242 kes hari ini, dikenakan peraturan sama dengan Selangor yang telah merekodkan 2,836 kes.
“Selagi SOP sewajarnya dikuatkuasakan dan pihak berkuasa boleh memastikan pematuhan maksimum, kelonggaran SOP adalah tindakan rasional.
“Walaupun kami menghormati keputusan dan bidang kuasa kerajaan persekutuan dalam hal ini, keputusan melonggarkan SOP dibuat dengan persetujuan semua komponen kerajaan pemerintah Sabah,” katanya.
Anifah menambah, keputusan itu turut dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 yang juga merangkumi wakil agensi persekutuan.
“Walaupun kami faham kerajaan persekutuan terutama MKN perlu mengawal pandemik ini, kami juga perlu menyedari ekonomi ini adalah sumber pendapatan rakyat kami.
“Buat apa menyelamatkan nyawa daripada wabak tetapi akhirnya lebih ramai yang ‘hilang’ akibat bunuh diri disebabkan kemurungan dan beban ekonomi akibat peraturan ‘lockdown’ berterusan?” soalnya.
Sementara itu, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee yang turut menyokong Hajiji berkata, banyak daerah di Sabah yang kurang kepadatan penduduknya merekodkan jumlah kes rendah atau tiada langsung selama beberapa minggu dalam pada program vaksinasi sedang dijalankan.
“Jadi tidak sepatutnya ada keadaan SOP ‘satu untuk semua’ bagi keseluruhan negeri dan daerah di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Malah, katanya, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memuji kejayaan Sabah mengekang Covid-19.