Bercakap kepada FMT, Ahmad Atory Hussain berkata, tidak mustahil akar umbi yang bosan melihat tindakan seperti itu akan beralih kepada Bersatu, seteru utama mereka ketika ini, sekali gus memberi kelebihan untuk PN menang besar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Susah untuk Umno bergerak sendiri. Jika terjadi (tarik sokongan), suara Melayu dan Islam akan berpindah kepada Bersatu dan parti itu sudah tentu mampu menggantikan Umno. Pada dasarnya, ia memberi kelebihan kepada PN untuk memperoleh majoriti besar pada PRU akan datang,” katanya.
Atory berkata, Umno seharusnya belajar daripada kejatuhan Parti Golkar yang berpaksi kepada kekuatan “bapak Suharto”, iaitu presiden kedua republik Indonesia.

“Golkar yang pada satu ketika dahulu dianggap sebagai ‘jaguh’ di gelanggang politik namun hilang taringnya selepas 32 tahun memerintah negara itu kerana perebutan kuasa dalam kalangan pemimpinnya. Umno akan jadi seperti Golkar,” katanya.
Katanya, tindakan tepat yang boleh dipertimbangkan Umno ketika ini ialah kekal dalam PN dan bersama mengurus pandemik Covid-19.

“Ada juga ura-ura Muhyiddin Yassin akan meletakkan Hishammuddin Hussein sebagai penggantinya dan saya kira ini akan melenyapkan ‘tumpuan’ siapa pemimpin (presiden) Bersatu seterusnya tetapi Umno yang dipimpin Hishammuddin,” katanya yang meramalkan BN akan ‘sepi’ dan PN menggantikan gabungan politik itu sebagai suara majoriti mewakili semua kaum.
Dua lagi penganalisis politik turut senada dengan Atory dan menyifatkan tindakan Umno menarik sokongan daripada PN dan berusaha menubuhkan kerajaan sendiri ibarat “bermimpi di siang hari”.
“Hakikat politik pada ketika ini, tiada satu parti pun yang boleh bergerak sendiri sama ada Umno, PN atau Pakatan Harapan (PH). Paling tidak, dua pihak daripada semua entiti ini harus membentuk kerjasama politik. Sama ada Umno-PKR, Umno-PN atau Umno-PAS. Itu saja pilihan yang mereka ada,” kata pakar geostrategi Azmi Hassan kepada FMT.
Tegasnya, jika Umno berdegil untuk menubuhkan kerajaan sendiri, politik tanah air akan terus dibelenggu isu sama, iaitu kerajaan status quo atau kerajaan tidak stabil.

Achmad Dzariean Nadzri dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, Umno akan bergelut dengan sentimen parti gila kuasa dalam kalangan pengundi jika desakan “pull the plug” itu benar-benar direalisasikan.
“Tindakan keluar dari PN sudah tentu keputusan yang merugikan kerana Umno akan dilihat sebagai parti gila kuasa ketika semua pihak bertungkus-lumus membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya yang yakin usaha Umno untuk bergerak sendirian tidak akan berhasil.
Tegasnya, parti Melayu itu masih memerlukan sokongan undi bukan Melayu jika mahu memenangi PRU15.
“Umno juga kena ingat, mereka perlukan undi bukan Bumiputera untuk menang mudah pada PRU. Tidak bijak jika Umno bergerak secara solo dan tidak ambil kira undi bukan Melayu,” katanya yang “pelik” dengan senario politik negara yang tidak sensitif terhadap tekanan dihadapi rakyat yang berdepan dengan krisis ekonomi dan pandemik Covid-19.