
Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali berkata, semua yang ditahan dikenal pasti sebagai pekerja gerai dan penjual ikan di Pasar Besar Kota Kinabalu.
“Mereka ditahan awal pagi hari ini dan akan diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi memburu 59 lagi individu yang masih bebas akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hazani berkata, semua 69 individu terbabit yang melarikan diri dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Katanya, mereka perlu menjalani ujian calitan atau “swab test” sebelum diarahkan untuk menjalani kuarantin di PKRC ditetapkan.
“Mungkin ada sebahagian daripada mereka yang positif Covid-19, bagaimanapun hanya KKM (Kementerian Kesihatan) mempunyai rekod berkenaan kejadian ini.
“Pasukan keselamatan akan menjalankan operasi pencarian di kawasan darat mahupun laut. Selain itu, laluan utama dari perkampungan Pulau Gaya ke ibu negeri juga dipantau sepenuhnya,” katanya.
Hazani berkata, arahan serah diri sudah dikeluarkan terhadap mereka yang masih hilang dan mereka boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya enggan berbuat demikian.
Terdahulu, polis dilaporkan memburu 69 penduduk Kampung Pondo di Pulau Gaya yang berjaya meloloskan diri sebelum dibawa ke pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah (PKRC) di pulau itu.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata, penduduk berkenaan lari dari rumah mereka selepas mendapat tahu kampung itu antara empat yang tersenarai akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Kampung Pondo adalah antara empat perkampungan di Pulau Gaya yang dikenakan PKPD bermula 30 Jun hingga 13 Julai.
Tiga lagi petempatan yang terlibat adalah Kampung Kasuapan, Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya selepas mencatatkan 215 kes positif Covid-19 sebelum ini.