
Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik hari ini, Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD selama 14 hari bermula 9 hingga 22 Julai ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19.
“Hasil pemantauan yang telah dilakukan KKM mendapati, daerah ini mencatatkan peningkatan kes dan setakat 4 Julai, sebanyak 5,504 kes aktif telahpun direkodkan di lokaliti ini.
“Kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini memerlukan kaedah pemutusan jangkitan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
Di Sabah, PKPD membabitkan Kampung Sungai Imam, Tawau, 2 perkampungan di Putatan, Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu, Kampung Balibata, Beaufort, Kampung Pintasan, Kota Belud, dan Kampung Istimewa, Batu Sapi, Sandakan.
Sementara di Pahang, PKPD melibatkan Kuarters Pekerja Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Kuantan dengan 147 kes positif Covid-19 direkodkan setelah menjalani 4,278 ujian saringan.
Manakala di Johor, PKPD membabitkan kawasan Perindustrian dalam daerah Kulai, Johor melibatkan Kawasan Perindustrian Indahpura serta tujuh lokaliti dalam Kawasan Perindustrian Senai.
“Kawasan Perindustrian Senai melibatkan Kawasan Industri Senai Fasa, Kawasan Industri Senai Fasa 2, Kawasan Industri Senai Fasa 3, Kawasan Industri Senai Fasa 4, Taman Perindustrian Senai,Taman Perindustrian Murni Senai dan Senai Airport City (SAC),” katanya.
PKPD di Kelantan pula melibatkan dua Taman Perumahan dalam daerah Kota Bharu, Kelantan iaitu Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf dengan 36 kes positif direkodkan hasil daripada 83 saringan.
Ismail turut memaklumkan PKPD yang akan tamat pada 8 Julai bermula 11.59 malam, melibatkan Kampung Tahak, Membakut, Beaufort, Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud dan Kampung Kukut, Beaufort, yang kesemuanya di Sabah.
Selain itu, PKPD di Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan turut ditamatkan esok.
Dalam pada itu Ismail berkata, semalam, 635 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 590 individu dikompaun manakala 45 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka, individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tiada penjarakan fizikal, tidak patuh arahan kawalan pergerakan dan membawa penumpang berlebihan,” katanya.
Bagi Operasi Pematuhan, pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas 2,239 kilang, 16,666 premis perniagaan, 641 tapak pembinaan dan 11,369 premis perniagaan.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, 29 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya.