Pejuang kini parti politik berdaftar, kata Dr M

Pejuang kini parti politik berdaftar, kata Dr M

Bekas perdana menteri itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan pendaftaran parti itu.

Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang akan lebih aktif selepas parti itu didaftarkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Pejuang didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik.

“Pejuang sudah didaftarkan hari ini. Kami berterima kasih kepada kerajaan. Cara kita ialah tidak menimbulkan masalah, tetapi mematuhi undang-undang.

“Mereka mahu yang menyertai kami boleh mendaftar,” katanya dalam sidang media maya sambil menambah partinya akan lebih aktif mulai sekarang.

Mahathir mengumumkan nama parti baharunya pada Ogos tahun lalu, empat tahun selepas menubuhkan Bersatu, yang kemudian memecatnya.

Satu daripada misi pertama Pejuang ialah mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (NRC) – projek peribadi Mahathir.

Pengerusi Pejuang itu berkata, NRC diperlukan kerana langkah sedia ada gagal sehingga menyebabkan ada yang membunuh diri akibat kehilangan pekerjaan dan kekurangan makanan.

Beliau berkata, partinya akan mengkaji masalah dihadapi rakyat dan “bermain politik” bukan agenda ketika ini.

Beliau turut menolak konflik politik antara Bersatu dan Umno, dengan berkata partinya lebih berminat untuk memastikan NRC, terdiri daripada profesional, ditubuhkan untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara.

“Itu (politik) bukan keutamaan kami.

“Tidak kira Muhyiddin Yassin naik atau turun, keluar atau masuk, apa sahaja yang berlaku kepada beliau – ia akibat kekeliruan dalam negara.”

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, rakyat masih menderita selepas pelbagai SOP dan sekatan pergerakan dilaksanakan.

“Kematian (Covid) tidak berkurangan. Ada yang mati mereka merekat idak dapat dirawat di hospital.

“Keluarga juga sedih kerana mereka tidak boleh memberikan pengebumian sewajarnya kepada si mati.”

Mengenai penarikan sokongan Umno kepada Muhyiddin, Mahathir mempersoalkan pengumuman Peguam Negara yang Perdana Menteri boleh terus memegang jawatannya kerana penarikan itu tidak dilakukan Ahli Parlimen, tetapi oleh Presiden Umno.

Ditanya jika Muhyiddin patut memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk menerajui negara, beliau berkata, ahli politik tidak dapat mencapai kata sepakat dalam kalangan mereka sendiri.

“Mereka hanya melambatkan bantuan kepada orang memerlukan. Kita tidak berminat sama ada terdapat perubahan dalam kerajaan atau perkara politik lain.”

Buat masa ini, katanya, Pejuang mahu memastikan keperluan rakyat melebihi politik dan kes Covid-19, kematian serta bunuh diri berkurangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.