Penduduk Labuan lega, situasi Covid-19 makin pulih

Penduduk Labuan lega, situasi Covid-19 makin pulih

Situasi Covid-19 di Labuan dilihat semakin pulih berbanding bulan lalu yang kini menunjukkan bilangan kes semakin berkurangan.

Petugas kesihatan menjalankan Ops Bersih Covid-19 di Kampung Muslim, Labuan baru-baru ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Situasi Covid-19 di Labuan dilihat semakin baik berbanding bulan lalu yang menyaksikan peningkatan kes di wilayah yang padat penduduk itu.

Penurunan jangkitan serta peningkatan kadar vaksinasi kini memberi kelegaan kepada seluruh penduduk untuk kembali menjalani kehidupan secara normal.

Seorang penduduk Sherwan Salleh masih ingat bagaimana mereka menempuh keadaan suram pada akhir Mei lalu ketika Labuan mencatatkan R-naught (R0) tertinggi di seluruh negara.

“Pada masa itu, kami amat takut untuk keluar rumah, tetapi kini keadaan semakin baik.

“Penduduk mula keluar bekerja. Sebelum ini, anda akan berfikir dua kali untuk keluar kerana tidak tahu sama ada mereka di luar sana merupakan kontak rapat disebabkan kedegilan sesetengah individu yang tidak memikirkan orang lain,” katanya.

Rekod kes harian yang sebelum ini berada pada paras tiga angka dilaporkan menurun kepada dua angka minggu ini dan kerajaan sudah membenarkan 60% kapasiti tenaga kerja di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berbanding 10% sahaja sebelum ini.

Kadar vaksinasi juga begitu menggalakkan dan prosesnya semakin lancar selepas kerajaan menghantar vaksin ke pulau itu walaupun ada yang mengeluh dengan kelewatannya.

Sherwan yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas, berkata, dia, isteri dan anak perempuan berusia 19 tahun sudah menerima dua dos lengkap sementara anak perempuan sulung dan suami dijangka menerima vaksin tidak lama lagi.

“Labuan adalah pulau yang kecil tetapi kesnya begitu tinggi. Sebab itu kita perlu segerakan proses vaksinasi. Sebab itu juga orang ramai mengkritik kerajaan dalam apa jua cara, terutama melalui media sosial dan media cetak. Hanya dengan cara itu mereka mula menghantar vaksin.

“Namun penerimaan amat menggalakkan. Pada hari pertama PPV (Pusat Pemberian Vaksin) beroperasi di Dewan Mutiara KML, saya rasa bilangan mereka yang hadir melebihi sasaran 2,000 orang.

“Semua orang mahu ambil peluang ini kerana bimbang dijangkiti virus,” katanya.

Bekalan vaksin secara besar-besaran diterbangkan ke pulau itu pada pertengahan Jun lalu.

Susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 daripada varian Delta yang lebih serius, Menteri Penyelaras Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, pemberian vaksin di Labuan tidak akan dilaksanakan seperti rancangan asal.

Beliau menjangkakan proses vaksinasi untuk 80% penduduk dewasa di situ akan selesai menjelang pertengahan bulan ini atau lebih awal.

Sementara itu, ahli perniagaan Azhar Othman berkata, keadaan semasa dilihat semakin baik untuk sektor ekonomi beroperasi di wilayah itu.

“Saya fikir sektor perniagaan sangat positif tetapi berhati-hati dengan perkembangan semasa kerana biarpun keadaan nampak semakin pulih tetapi kita masih lagi belum bebas.

“Perniagaan perlu sudah dibuka semula. Tiada lagi halangan ditempatkan dan hanya beberapa sekatan jalan raya ditempatkan berhampiran kawasan bandar,” katanya.

Azhar yang juga pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East Asean Growth Area) berkata, purata bilangan vaksin harian sejak sebulan lalu adalah sekitar 750 dos.

“Namun hari ini, ia mencecah antara 2,000 hingga 2,700. Pada mulanya hanya terdapat tiga PPV dan kini sudah ada sembilan buah,” katanya.

Azhar berkata, terdapat trend penurunan dalam jangkitan baharu biarpun ia masih dianggap tinggi bagi pulau bersaiz kecil dengan jumlah penduduk seramai 100,000 orang.

Katanya, pulau itu perlu merekodkan kes satu digit bagi membolehkan penduduknya berasa lebih selesa.

Dia percaya sasaran 80% vaksinasi yang ditetapkan Khairy hanya boleh dicapai menjelang pertengahan Ogos depan.

“Tetapi kunci utamanya ialah kerajaan persekutuan memberi bantuan, penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala pemimpin dan rakyat mengagihkan bantuan dan wakil rakyat juga berusaha membantu Jabatan Kesihatan mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Ahli Parlimen Labuan Rozlan Isli berkata, bekalan vaksin adalah konsisten dan setakat Isnin, 55,572 sudah menerima suntikan dos pertama mereka. Dalam tempoh sama, seramai 18,019 orang lengkap dos kedua.

“Kebimbangan dalam kalangan penduduk mula hilang. Orang ramai lebih tenang tidak seperti sebelum ini apabila mereka begitu panik dan menyalahkan antara satu sama lain,” katanya.

Rozman berkata, pihak berkuasa juga melakukan pemantauan lebih ketat di Kampung Air dan petempatan komuniti pelarian di Kiamsam, yang kedua-duanya mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Setakat semalam, Labuan merekodkan 8,765 kes terkumpul dengan 2,167 kes aktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.