
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, berkata kepemimpinan Umno tidak memberi penjelasan sewajarnya apa yang mereka ingin capai, kesan daripada keputusan penarikan semula sokongan terbabit.
“Kenyataan (presiden Umno) tidak memberi impak sebenar kerana terhadap sokongan majoriti diterima Perdana Menteri. Mereka kena bergerak ke langkah seterusnya sebagai satu parti, bertindak (Ahli Parlimen Umno) menuruti pendirian parti.
“Parti (Umno) kemudian kena memastikan keputusan mereka diambil kira di Parlimen atau tempat lain, melainkan beliau (Zahid) menerangkan sejelasnya, tiada apa akan berlaku dan isu sama ada perdana menteri mempunyai majoriti kekal sedia ada,” katanya kepada FMT, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaid berkata kenyataan Peguam Negara, Idrus Harun, bertepatan kerana sokongan Muhyiddin sebagai perdana menteri kekal sehingga sokongan majoriti Ahli Parlimen diuji di Dewan Rakyat.
Idrus berkata, sokongan terhadap Perdana Menteri tidak ditentukan menerusi kenyataan parti politik mahupun ketua parti kerana sokongan majoriti perlu ditentukan oleh Ahli Parlimen sendiri.
Sementara itu, Zaid berkata, apa sahaja kemungkinan berlaku ketika Dewan Rakyat bersidang semula bergantung kepada tindakan Umno.
“Sebagai contoh, seandainya Umno mengeluarkan kenyataan tegas mengatakan sesiapa sahaja ahli bertindak berbeza dengan pendirian parti, mereka akan dipecat. Hanya dengan itu, kita akan melihat ‘tindakan’ susulan bila Parlimen bersidang,” katanya.
“Lebih penting kepada parti adalah mereka perlu tahu apa yang patut dilakukan. Apabila mereka tahu apa yang diidamkan, mereka boleh mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Najib Razak, memberi amaran ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) yang berterusan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, selepas keputusan Majlis Tertinggi (MT) akan berdepan akibatnya kerana enggan menuruti pendirian.
Walaupun beliau bukan secara terbuka mengatakan Ahli Parlimen yang enggan menuruti kehendak parti akan dipecat, Najib berkata Ahli Parlimen menyanggahi kedudukan parti perlu menjawab kepada rakyat pada pilihan raya.
Parlimen akan bersidang semula selama lima hari bermula 26 Julai ini.