Hanya segelintir petugas kesihatan dijangkiti selepas lengkap 2 dos, kata Hisham

Hanya segelintir petugas kesihatan dijangkiti selepas lengkap 2 dos, kata Hisham

Mereka dijangkiti adalah kategori tiga dan empat sementara tiada yang dijangkiti kategori lima.

Dr Noor Hisham Abdullah.
KUALA LUMPUR:
Hanya segelintir petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin dijangkiti virus Covid-19 kategori tiga dan empat sementara tiada yang dijangkiti kategori lima, menurut data KKM dari 24 Feb hingga 14 Julai.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Twitternya malam tadi berkata, data terkini diperoleh daripada ujian berkala menunjukkan 3,106 (1.26%) daripada keseluruhan 245,932 petugas kesihatan dijangkiti virus itu selepas melengkapkan suntikan vaksin dengan masing-masing tiga (0.1%) dalam kategori tiga dan empat (0.1%) kategori empat.

“Pernah suatu ketika, ramai tidak gembira dengan ciapan saya apabila saya menyentuh mengenai bilangan petugas kesihatan dijangkiti selepas lengkap dua dos vaksin. Ya, kamu masih boleh dijangkiti selepas lengkap dua dos vaksin tetapi tidak serius, kurang kemasukan ke hospital dan kematian.

“Percayalah vaksin, percaya data. Vaksin menyelamatkan nyawa dan selepas divaksinasi sepenuhnya kita boleh ‘berdampingan’ dengan Covid-19,” katanya.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan Hisham, sebanyak 1,012 petugas kesihatan dirawat di bawah kategori satu yang tidak mengalami sebarang simptom; 2,088 (kategori dua-gejala ringan); tiga (kategori tiga-radang paru-paru); tiga (kategori empat – perlu oksigen) dan sifar dalam kategori lima (rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU)).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.