
Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed memerintahkan Yanik Setia Pratiwi, 36, didenda RM2,000 atau penjara enam bulan bagi setiap dua tuduhan terhadapnya, lapor Bernama.
Yanik gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, suaminya, warga tempatan Amiruzaman Ab Rahmad, 59, juga didenda RM2,000 atau penjara enam bulan kerana bersubahat dengan Yanik. Lelaki itu membayar dendanya.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini pada 13 Jun dan 4 Julai lalu.
Yanik menghadapi dua tuduhan, menggunakan kad pengenalan milik Nor Athirah Zaiki, 26, untuk mendapatkan dua suntikan vaksin.
Kesalahan mengikut Peraturan-peraturan 25(1)(c) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 itu memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Amiruzaman pula didakwa mengikut Peraturan-peraturan 25(1)(m) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang turut memperuntukkan hukuman sama.
Mengikut fakta kes, perbuatan pasangan suami isteri itu terbongkar selepas Nor Athirah yang berasal dari Perak, membuat laporan polis pada 7 Julai, susulan dimaklumkan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Sinovac di sini, melalui aplikasi MySejahtera, sedangkan dia masih belum divaksinasi.
Ketika rayuan, pasangan yang diwakili peguam Asmadi Abu Bakar itu memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman denda paling minimum tanpa pemenjaraan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada mereka dan orang awam.