Jangan sensasi isu Ebit Lew, Caprice, Bukit Aman beri amaran tindakan tegas

Jangan sensasi isu Ebit Lew, Caprice, Bukit Aman beri amaran tindakan tegas

Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak jika didapati melanggar undang-undang termasuk menyebarkan fitnah.

Caprice mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit Lew kerana mendakwa menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah itu menghulurkan bantuan baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Polis mengingatkan orang ramai tidak mensensasikan isu kontroversi membabitkan pendakwah bebas Ebit Lew dan penyanyi rap Caprice.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, tindakan tegas akan diambil jika ada pihak yang didapati melanggar undang-undang termasuk menyebarkan fitnah.

“Beberapa hari ini media sosial hangat memperkatakan tindakan seorang penyanyi rap, Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli yang mempersoalkan Ebit Lew ketika misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.

“Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan isu ini.

“Setakat ini tiada laporan polis diterima dan tiada kertas siasatan dibuka mengenai perkara ini. Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan atau membuat kenyataan berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perbuatan menyebarkan fitnah ke atas individu lain adalah satu kesalahan yang boleh disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Siasatan juga boleh dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan perpecahan keamanan.

“Orang ramai juga boleh disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Caprice mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit kerana mendakwa menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah itu menghulurkan bantuan baru-baru ini.

Dia juga mendakwa Ebit hanya menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza demi tarikan bahan kandungan di media sosial.

Pendedahan Caprice itu dilihat menimbulkan rasa kurang senang warganet terutama dalam kalangan penyokong Ebit yang memberikan pelbagai reaksi terhadap artis terbabit.

Penyanyi itu kemudian memohon maaf kepada semua pihak menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.