
Gabungan pembangkang itu mahukan Azhar membenarkan semua Ahli Parlimen hadir pada sidang itu selain memastikan perbahasan diadakan.
Selain itu, Azhar juga “perlu memutuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Pemerintah atau sekadar mengikut arahan Kabinet,” menurut kenyataan Majlis Presiden PH.
Kenyataan itu ditandatangani pemimpin PKR (Anwar Ibrahim), DAP (Lim Guan Eng) dan Amanah (Mohamad Sabu).
“Jika Yang Dipertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksanakan tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan,” kata PH.
Gabungan itu menegaskan perbahasan penuh mesti diadakan mengenai Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah Covid-19, usaha memulihkan ekonomi serta menjamin kelangsungan hidup rakyat.
“Kami tidak boleh terima sidang Parlimen yang dipanggil hanya untuk mendengar ceramah atau kuliah menteri tanpa perbahasan penuh,” katanya.
Sidang lima hari yang akan berlangsung di Dewan Rakyat pada 26 Julai ini adalah mesyuarat khas bawah penggal ketiga.
Takwim Parlimen bagi penggal itu merujuk 26 Julai hingga 2 Ogos sebagai sesi penerangan daripada menteri-menteri tertentu.
Menurut PH, apa yang cuba diatur oleh kerajaan adalah sidang khas yang tiada perbahasan ke atas sebarang usul, hanya setakat mendengar kuliah menteri, dengan kehadiran jumlah ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap.
Juga tidak ada sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat.
“Maka jika Yang Dipertua Dewan Rakyat tetap melaksanakan keputusan-keputusan kerajaan itu, pada ketika beliau menyedari ianya tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang Dipertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut,” katanya.
Pimpinan PH turut menyatakan “rasa terkejut” dengan laporan media yang memetik Azhar sebagai mendakwa PH cuba melagakan beliau dengan Istana Negara.
“Ini bukan kenyataan yang patut dikeluarkan oleh seorang (yang memegang jawatan) Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan menggunakan bahasa tidak mengikut peraturan Parlimen,” kata PH.
Pada 16 Jun lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Dalam kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Tuanku menyedari peranan penting Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Covid-19.