Pelancong, penduduk divaksin sepenuhnya kunci pemulihan Langkawi, kata Mahathir

Pelancong, penduduk divaksin sepenuhnya kunci pemulihan Langkawi, kata Mahathir

Bekas perdana menteri berkata, industri pelancongan pulau itu mampu pulih sebaik pelancong yang divaksin penuh serta negatif Covid-19 dibenarkan datang semula.

Dr Mahathir Mohamad mengakui Langkawi akan memerlukan masa untuk pulih kembali ke sedia kala seperti sebelum wabak berlaku, namun prosesnya perlu bermula secepat mungkin. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Vaksinasi penduduk dan pelancong Langkawi adalah kunci untuk menghidupkan semula industri pelancongan pulau itu yang terhenti akibat pelbagai sekatan pergerakan dilaksanakan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam bual bicara bertajuk ‘Langkawi di Mata Tun’, Ahli Parlimen Langkawi berkata, sebaik hampir keseluruhan populasi pulau itu telah divaksin sepenuhnya, ia pasti dapat menerima semula pelancong yang juga telah lengkap diimunisasi terhadap Covid-19.

“Sesiapa yang telah menerima kedua-dua dos patut dibenarkan memasuki Langkawi. Di Eropah, perjalanan telah dibenarkan semula dengan syarat seseorang telah divaksin sepenuhnya, dan ini boleh juga dilakukan di sini.”

Katanya, ini boleh disertai dengan ujian Covid-19 untuk memastikan pelancong yang masuk ke Langkawi tidak membawa virus itu.

Pada masa sama, populasi telah lengkap divaksinasi akan dapat memastikan pelancong tidak dijangkiti virus itu ketika bercuti seterusnya membawanya pulang bersama pula ke negara asal.

Beliau menambah, dengan populasi di bawah 70,000 penduduk, dan memandangkan pekerja kesihatan tempatan mampu memberikan antara 3,000 hingga 4,000 dos sehari, “tidak lama lagi semua orang akan divaksin sepenuhnya dan Langkawi bersedia menerima pengunjung.”

Mahathir mengakui pulau itu akan memerlukan masa untuk pulih kembali ke sedia kala seperti sebelum wabak berlaku, seterusnya penting Langkawi dapat menerima semula pengunjung dalam tempoh dua bulan akan datang untuk memacunya.

Sementara itu, katanya, memasarkan sumber asli Langkawi dengan berkesan juga penting untuk memastikan ekonominya terus bertahan, contohnya ikan bilis dan belacan keluaran pulau itu yang berkualiti tinggi.

Malah, katanya, memandangkan wabak telah menjadikan pembelian secara dalam talian lebih popular, ini membuka ruang untuk turut memasarkan produk berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.