Polis akan ambil keterangan doktor kontrak sertai hartal

Polis akan ambil keterangan doktor kontrak sertai hartal

Difahamkan polis telah mengambil maklumat sebilangan peserta, namun tiada yang ditahan.

Semua peserta mogok Gerakan Hartal Doktor Kontrak bersurai pada 12.08 tengah hari, sejam selepas “walk-out” bermula di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
KUALA LUMPUR:
Beberapa doktor kontrak yang mengambil bahagian dalam mogok hari ini dimaklumkan bahawa mereka akan dipanggil oleh polis untuk merakam kenyataan tidak lama lagi.

Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, semua peserta mogok bersurai pada 12.08 tengah hari, sejam selepas “walk-out” bermula.

“Polis mengambil maklumat sebilangan peserta,” kata doktor junior yang tidak mahu dinamakan.

Setakat ini, tambahnya, tiada ahli Gerakan Hartal ditahan.

Gerakan tersebut sebelum ini memberi kerajaan masa 26 hari untuk menyelesaikan isu membabitkan mereka atau mereka akan mogok hari ini.

Antara tuntutan dibuat para doktor kontrak adalah diberikan laluan kerjaya yang adil dan faedah yang sama seperti doktor berjawatan tetap.

Sebelum ini dilaporkan doktor di Hospital Serdang diberi amaran agar tidak menyertai mogok berkenaan.

Portal berita The Malaysian Insight turut melaporkan bahawa Cawangan Khas dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan dikerahkan ke hospital untuk memantau keadaan dan bersedia untuk menahan petugas kesihatan yang tidak mengikut arahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.