KKM mohon KPT tangguh program pengajian kepakaran untuk mobilasi pegawai perubatan

KKM mohon KPT tangguh program pengajian kepakaran untuk mobilasi pegawai perubatan

Surat bertarikh 26 Julai memaklumkan penangguhan itu bagi membolehkan petugas di lapangan dioptimumkan untuk menyokong perkhidmatan Covid-19.

KKM memohon kerjasama KPT untuk menangguhkan sementara program pengajian kepakaran untuk tempoh tiga bulan berkuat kuasa mulai 1 Ogos. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) memohon Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan program pengajian kepakaran pegawai perubatan bagi membolehkan mobilasi ke hospital, pusat saringan dan pusat kuarantin seluruh negara, khususnya Lembah Klang, menurut surat yang dilihat FMT.

Surat tersebut yang ditandatangani Ketua Setiausaha KKM, Shafiq Abdullah, kepada rakan sejawatnya di KPT, Mazlan Yusoff, memohon KPT menangguhkan sementara program pengajian kepakaran pegawai perubatan di hospital pengajar dan universiti selama tiga bulan berkuat kuasa 1 Ogos.

Penangguhan itu bertujuan membolehkan petugas di lapangan dioptimumkan bagi menyokong perkhidmatan kesihatan, menurut surat bertarikh 26 Julai itu.

Keputusan itu berdasarkan situasi semasa yang menyaksikan jumlah kes Covid-19 menunjukkan peningkatan mendadak, khususnya di Lembah Klang dan kawasan sekitar.

Menurut surat itu, jumlah orang ramai yang hadir untuk saringan di pusat saringan Covid-19 (CAC) juga meningkat serta jumlah pesakit Covid-19 yang dikuarantin dan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) serta hospital juga bertambah dari semasa ke semasa.

“Keadaan ini memerlukan intervensi menerusi mobilasi segera kesemua petugas kesihatan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan di hospital, pusat saringan dan PKRC seluruh negara khususnya di Lembah Klang.

“KKM memohon kerjasama KPT untuk menangguhkan sementara program pengajian kepakaran bagi tempoh tiga bulan berkuat kuasa mulai 1 Ogos supaya pegawai perubatan dapat dioptimumkan yang memerlukan pertambahan segera petugas kesihatan,” menurut surat berkenaan.

“Bagi maksud ini, KKM akan memobilisasikan segera kesemua pegawai perubatan tersebut bagi memenuhi keperluan perkhidmatan khususnya di Lembah Klang,” katanya lagi.

FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada KKM dan KPT berhubung surat berkenaan.

Pada 8 Mei lalu, KKM mengarahkan hospital di seluruh negara memobilisasikan semua bidang klinikal bagi membantu rawatan Covid-19 termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam surat pekeliling berkata, ia termasuk penangguhan pembedahan dan prosedur elektif selain sumber tenaga manusia di hospital kerajaan perlu dioptimumkan.

Katanya, penangguhan pembedahan dan prosedur elektif membolehkan lebih banyak wad di pelbagai disiplin klinikal diguna sama untuk tujuan rawatan pesakit Covid-19.

Susulan arahan penangguhan itu, beliau turut mengarahkan sebahagian anggota pelbagai kategori dari semua disiplin klinikal dan bukan klinikal dimobilisasi secara sementara ke wad Covid-19 termasuk ICU.

Negara terus merekodkan angka positif harian melebihi 15,000 kes sehari dengan kes baharu dicatatkan sebanyak 16,117 semalam sementara 170,224 kes aktif sedang dirawat di hospital termasuk 1,023 pesakit berada di wad ICU.

Angka korban juga terus merekodkan angka tertinggi apabila dua hari berturut-turut negara melaporkan 207 kematian baharu menjadikan keseluruhan angka korban bertambah kepada 8,408 kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.