Pembatalan Ordinan Darurat mengikut undang-undang, perlembagaan, kata PMO

Pembatalan Ordinan Darurat mengikut undang-undang, perlembagaan, kata PMO

Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan Agong dan Raja-Raja Melayu yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan diambil kerajaan dalam membatalkan Ordinan Darurat dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan menjelaskan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan Insya-Allah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” kata kenyataan itu.

PMO berkata, kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti mana dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Katanya, berdasarkan titah pandangan itu, kerajaan memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021 dan sebagai persediaan Mesyuarat Khas Parlimen itu, Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021 mengadakan perbincangan teliti dan mengambil ketetapan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen selepas mendapat perkenan Agong; Jemaah Menteri tidak akan menasihati Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu.

Jelas kenyataan itu, ketetapan turut memutuskan untuk menasihati Agong membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa dan susulan itu PMO menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan Jabatan Peguam Negara pada 22 Julai.

“Ordinan ini memperuntukkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

“Pada 23 Julai 2021, perdana menteri telah mengutuskan warkah kepada Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya Ordinan-ordinan Darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan baginda mengenainya,” katanya.

Jelas kenyataan itu, PMO mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, Agong sedia maklum bahawa baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, susulan itu Agong pada 24 Julai 2021, telah menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Idrus Harun menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

“Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Ahli-ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan baginda,” katanya.

Katanya, Takiyuddin sebagai menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan-ordinan Darurat berkenaan dan ia adalah satu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.

Kata kenyataan itu lagi, pemakluman itu telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021, perdana menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap Agong pada 12 tengah hari, Selasa lalu untuk menjelaskan kedudukannya.

“Pada sesi menghadap ini, perdana menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan Ordinan-ordinan Darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

“Perdana menteri juga telah menyembah maklum pandangan kerajaan bahawa semua Ordinan Darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Agong untuk membatalkannya,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai Ordinan Darurat.

Katanya, oleh sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati Agong membatalkan Ordinan Darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.