14 ajaran sesat masih aktif, dipantau pihak berkuasa, kata menteri

14 ajaran sesat masih aktif, dipantau pihak berkuasa, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan turut menggesa kerjasama pelbagai pihak dalam mengekang kegiatan itu.

Zulkifli Hasan
Zulkifli Hasan berkata fahaman sesat tidak pernah ‘tidur’ dan sentiasa berusaha mempengaruhi serta mencemari pemikiran masyarakat selain kewujudan media sosial menjadi cabaran baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 14 ajaran yang telah difatwa sesat dikesan masih aktif di negara ini namun ia masih dalam pemantauan pihak berkuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Zulkifli berkata peranan kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk mengekang kegiatan ajaran sesat tetapi perlu mendapat kerjasama semua pihak termasuk masyarakat sivil, NGO serta institusi lain.

Katanya, kerajaan juga bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasaan dan pihak berkuasa agama persekutuan serta negeri bagi memastikan tindakan diambil berdasarkan undang-undang.

“Kita mahu pastikan apa-apa tindakan yang diambil adalah bertepatan dengan hukum dan undang-undang, adil serta selari dengan peruntukan sedia ada.

“Dalam masa sama, kita juga perlu memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat ini.

“Peranan kerajaan sahaja tidak mencukupi. Masyarakat sivil, NGO Islam dan institusi berkaitan perlu berganding bahu dan bersinergi bagi menangani isu ini supaya Malaysia terus menjadi model negara Islam yang sederhana, berkemajuan dan damai,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan banjir di Kuala Terengganu, hari ini, menurut Harian Metro.

Mengenai kebimbangan kewujudan berterusan kumpulan ajaran sesat, Zulkilfi berkata sejarah membuktikan fahaman itu tidak pernah ‘tidur’ dan sentiasa berusaha mempengaruhi serta mencemari pemikiran masyarakat.

Katanya, kemunculan media sosial turut menjadi cabaran baharu dalam usaha membanteras kegiatan itu.

“Namun kita secara berterusan melaksanakan program pencerahan termasuk melalui peranan jabatan mufti bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ciri-ciri ajaran sesat.

“Apa yang penting bukan sekadar menangani ajaran sesat, tetapi bagaimana kita membawakan ajaran Islam yang sebenar supaya fahaman songsang ini dapat dikuburkan,” katanya.

Sebelum ini Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata sebanyak 154 ajaran difatwa sebagai sesat dikesan sejak 1950 hingga kini dan 14 ajaran dikenal pasti masih aktif

Antara ajaran yang masih aktif termasuk Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.