Risiko Covid-19: KKM saran Parlimen digantung dua minggu

Risiko Covid-19: KKM saran Parlimen digantung dua minggu

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu dibuat selepas mengambilkira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di bangunan Parlimen.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata,penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan menyarankan supaya sidang Parlimen digantung selama dua minggu bermula 29 Julai selepas mengambil kira penilaian risiko semasa bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 di bangunan berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen.

“Penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, semua individu yang berada di bangunan Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata sebelum sidang bermula pada 26 Julai, beliau mewakili KKM membentangkan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan penularan wabak Covid-19 di Parlimen, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kluster Keselamatan Hishammuddin Hussein, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta ketua parti politik dari blok kerajaan dan pembangkang.

“KKM kemudian mengemukakan dua cadangan iaitu sidang khas Parlimen ditangguhkan sehingga status liputan imunisasi mencapai sekurang-kurangnya 40% di Lembah Klang atau sekiranya diteruskan, jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan bagi mengurangkan tempoh pendedahan.

“Dan sidang Dewan hendaklah dihentikan serta-merta sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dikesan bagi mencegah berlakunya risiko penularan jangkitan di kalangan individu yang hadir di Parlimen dan wakil parti politik memilih pilihan kedua iaitu meneruskan sidang Dewan,” katanya.

Beliau berkata, pada 29 Julai, KKM dimaklumkan mengenai dua kes positif Covid-19 yang telah hadir ke Parlimen.

“Kes pertama merupakan seorang petugas yang hadir ke Parlimen sejak 26 Julai dan dikesan positif melalui ujian pengesahan RT PCR di sebuah fasiliti kesihatan kerana bergejala batuk.

“Nilai CT atau nilai ambang RT PCR beliau adalah 18.71. Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada jam 12:30 tengah hari menggunakan ujian kendiri RTK antigen (Ag) Saliva kerana gejala batuk dan loya,” katanya.

Katanya, dengan pengesanan dua kes positif Covid-19 tersebut KKM mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag Saliva terhadap 1,183 individu di dalam Parlimen dan mendapati sembilan lagi kes positif Covid-19.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 11 kes (seorang RT PCR positif dan 10 orang RTK Ag positif) dengan lima daripadanya bergejala.

“Kesemua 10 kes positif RTK Ag telah diambil swab bagi ujian pengesahan jangkitan Covid-19 menggunakan RT PCR. Lapan kes disahkan positif Covid-19 di mana lima kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi (nilai ambang antara 12.67 hingga 18.19).

“Kesemua sampel ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk dibuat ujian jujukan genom (genomic study) bagi mengenalpasti jenis varian virus SARS-CoV-2,” katanya lagi.

Noor Hisham berkata, daripada lapan kes positif itu, hanya dua kes sahaja yang mempunyai sejarah vaksinasi Covid-19 lengkap (melepasi 14 hari dari tarikh dos ke-2).

“Kesemua kes ini stabil dan diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian untuk menjalani pengasingan di tempat kediaman masing-masing serta dipakaikan gelang tangan pengawasan. Setakat ini seramai 48 kontak rapat telah dikenalpasti, namun siasatan dan pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.