Jangan jadikan Ombudsman sekadar biro aduan awam, kerajaan diberitahu

Jangan jadikan Ombudsman sekadar biro aduan awam, kerajaan diberitahu

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan turut gesa kerajaan beri penerangan lanjut cadangan itu pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan berkata Ombudsman Malaysia perlu benar-benar diberi kuasa untuk menangani aduan rakyat seperti dilakukan di beberapa negara lain apabila ia bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan perdana menteri.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata Ombudsman Malaysia dicadangkan kerajaan tidak boleh sekadar menjadi jenama baru biro pengaduan awam (PCB) tetapi mesti diberikan fungsi yang betul.

Beliau berkata, jika badan bebas itu diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri dan masih bergantung kepada kebenaran menteri selain tidak mempunyai kuasa bertindak, ia tidak layak untuk dipanggil sebagai Ombudsman.

Katanya, Ombudsman mestilah benar-benar diberi kuasa untuk menangani aduan rakyat, dengan memetik contoh fungsi badan itu di beberapa negara lain yang bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan perdana menteri.

“Rakyat tidak perlukan satu lagi pusat aduan yang tidak berkuasa. Rakyat perlukan sebuah institusi yang boleh dipercayai dan diyakini untuk menyelesaikan masalah dan aduan.

“Untuk bandingan, Sweden merupakan model Ombudsman tertua di dunia dan di negara itu Ombudsman boleh menyiasat sesiapa sahaja termasuk menteri dan penjawat awam tertinggi, malah boleh mencadangkan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful berkata, Ombudsman di negara ini perlu benar-benar bebas dengan lima ciri iaitu dilantik oleh dan bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan eksekutif, mempunyai kuasa siasatan penuh ke atas semua agensi kerajaan, ada kuasa bertindak, bukan sekadar nasihat.

“Selain itu ia juga perlu berperanan sebagai pelindung pemberi maklumat dan semua laporan dibentangkan kepada umum secara telus,” katanya.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan penubuhan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat lebih menyeluruh merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.

Beliau berkata, perkara itu antara persetujuan penting dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 dipengerusikannya baru-baru ini.

Sementara itu, Wan Saiful turut menggesa kerajaan membuat satu kenyataan menteri bagi memberi penerangan lanjut cadangan tersebut di Parlimen pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Januari ini.

“Benarkan perbahasan dan rujuk RUU Ombudsman kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibaca di Dewan Rakyat.

“Kerajaan juga digesa memberi jaminan bahawa Ombudsman yang bakal ditubuhkan akan bebas sepenuhnya daripada kawalan eksekutif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.