
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, pembangkang akan berusaha mengeksploitasi rasa tidak puas hati umum dalam pelbagai isu semakin pilihan raya umum menghampiri, termasuk kos sara hidup yang kian meningkat dan persepsi elitisme dalam kerajaan.
Katanya, walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menjanjikan reformasi dalam pelbagai bidang, ‘sistem masih kelihatan sama’.
“Naratif itu dipercayai, kerana kontroversi yang berkisar sekitar pelantikan bagi jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan isu pemerolehan,” katanya. Menurutnya, pembangkang berkemungkinan membangkitkan kronisme dengan menuding ke arah isu seperti mempertikaikan perjanjian korporat serta kegagalan mengambil tindakan dalam kes rasuah tertentu.
Sivamurugan menjangka pembangkang akan secara agresif membangkitkan isu seperti kekurangan reformasi dan elitisme.
Katanya reformasi bermakna – khususnya dalam tadbir urus GLC, undang-undang pemerolehan dan kebebasan institusi, termasuk dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – pasti memperbaiki kepercayaan umum.
Kerajaan mesti menunjukkan bukti jelas bahawa ia memenuhi isu yang dapat dilihat dan dirasai pengundi sebelum pilihan raya umum akan datang, kata Sivamurugan. Menurutnya, ini termasuk dasar dan projek impak tinggi seperti jalan raya lebih baik dan bekalan air bersih.
Katanya, kerajaan juga mesti mengelak perbalahan politik yang tidak perlu, sebaliknya menunjukkan naratif ekonomi koheren bagi meredakan kesan serangan pembangkang.
“Sebarang penyelarasan subsidi bahan api, bantuan tersasar atau naik turun harga barangan akan digunakan untuk mendakwa kerajaan membebankan rakyat.
“Pembangkang juga akan memfokuskan terhadap kegelisahan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya Melayu bandar,” katanya.
Sivamurugan berkata, pentadbiran Anwar juga patut memfokuskan terhadap pemerkasaan pemimpin tempatan yang boleh dipercayai dan bukannya mempertaruhkan tokoh nasional.
Penggal Parlimen bakal tamat pada 19 Dis 2027. Ini bererti PRU mesti diadakan selewat-lewatnya 17 Feb 2028.
Bagaimanapun, Sivamurugan memuji pentadbiran Anwar kerana mengekalkan kestabilan politik dan menarik pelaburan asing stabil seiring membaiki disiplin fiskal dan memperkukuhkan keyakinan antarabangsa dengan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah serta Asia Barat.
Beliau turut memuji reformasi struktur diperkenalkan kerajaan, termasuk subsidi bersasar yang sebelum ini gagal dilaksanakan pentadbiran terdahulu.
Hak istimewa Melayu
Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjangka pembangkang akan terus fokus terhadap isu hak istimewa Melayu.
“Mereka akan berkata kerajaan masih tidak melindungi hak istimewa Melayu, seperti dilihat dalam isu Akta Pembaharuan Semula Bandar dan pembangunan semula Kampung Sungai Baru,” katanya.
Bagaimanapun, James Chin dari University of Tasmania berpendapat kerajaan sepatutnya memberi keutamaan terhadap ekonomi.
“Tidak kira apa yang dilakukan Anwar, beliau tidak akan memenanangi ‘undian hijau’,” katanya merujuk kepada penyokong PAS.
“Lebih baik beliau memfokuskan terhadap ekonomi kerana sekiranya rakyat Malaysia lebih kaya, ini akan membantunya memaut pengundi hijau. Jika keadaan ekonomi bagus, mereka mungkin mengabaikan PAS,” katanya.