
Ketua Bersatu Pasir Salak Zainol Fadzi Paharudin yang bertindak sebagai jurucakap berkata kemelut itu boleh diselesaikan dengan baik dan segera jika dikawal di peringkat awal, lapor Sinar Harian.
“Presiden perlu mengawal perkara ini dengan lebih cermat umpama menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak.
“Kegagalan membendung perkara ini daripada awal menyebabkan ia semakin membengkak sekali gus menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu khasnya,” katanya.
Kemelut dalaman Bersatu bermula ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, September lalu susulan penyebaran surat layang yang mendakwa wujud gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin.
Turut dipertikaikan resolusi meluluskan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 dari parti itu yang akan dibawa ke mesyuarat Perikatan Nasional (PN).
Kemelut bertambah hangat selepas pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah pula dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk disiasat berhubung dakwaan terbabit dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin.
Keadaan reda seketika bagi membolehkan Bersatu menumpukan kepada PRN Sabah pada 29 Nov lalu yang menyaksikan parti itu tewas di semua 33 kerusi ditandingi termasuk Naib Presiden Ronald Kiandee di Sugut.
Susulan prestasi buruk itu, wujud desakan Muhyiddin berundur dan ada juga meminta Timbalan Presiden Hamzah Zainudin selaku pengarah pilihan raya bertanggungjawab.