Hakim tarik diri, permohonan Bersatu rayu kes Ahli Parlimen Sabah ditangguh

Hakim tarik diri, permohonan Bersatu rayu kes Ahli Parlimen Sabah ditangguh

Peguam Ahli Parlimen itu berkata anak guamnya ‘tidak selesa’ dengan Hakim Abu Bakar Jais, yang mendedahkan hubungan rapat dengan peguam Bersatu.

Armizan Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan, Jonathan Yasin and Matbali Musah
Bersatu memohon untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen yang disandang oleh Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menangguhkan permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan Speaker Dewan Rakyat yang enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi empat Ahli Parlimen yang berpaling tadah, selepas seorang hakim menarik diri daripada mendengar kes itu.

Apabila prosiding bermula hari ini, Pengerusi Panel Hakim Abu Bakar Rais memaklumkan bahawa beliau sudah lama mengenali peguam Bersatu Azhar Harun dan meminta pihak-pihak menyatakan sama ada mereka mempunyai bantahan terhadap beliau mengetuai pendengaran kes.

Selepas rehat singkat, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Ahli Parlimen tersebut, berkata anak guamnya berasa tidak selesa dengan kehadiran Abu Bakar dalam panel.

Abu Bakar, yang juga presiden Mahkamah Rayuan, kemudian menetapkan esok sebagai tarikh pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu.

Turut bersidang dalam panel yang mendengar rayuan itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi serta Hakim Nallini Pathmanathan.

Pada 5 Ogos, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa keputusan Speaker Johari Abdul yang terkandung dalam surat bertarikh 16 Jan 2023 adalah kebal daripada semakan kehakiman.

Hakim Ruzima Ghazali, yang mengetuai panel Mahkamah Rayuan tersebut, berkata Mahkamah Tinggi betul apabila menolak permohonan kebenaran Bersatu kerana Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan menghalang mahkamah daripada mempertikai keabsahan prosiding Parlimen.

Dalam penghakiman bertulisnya sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Amarjeet Singh, berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang memutuskan bahawa penentuan speaker sama ada wujud kekosongan luar jangka tidak boleh dicabar di mahkamah.

Dalam suratnya, Johari berkata sokongan empat Ahli Parlimen itu terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mewujudkan kekosongan luar jangka di kawasan masing-masing.

Empat Ahli Parlimen tersebut ialah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Dalam saman itu, Bersatu mendakwa keputusan Johari untuk tidak mengosongkan kerusi mereka ‘tercemar dengan unsur tidak sah’.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan — ketika itu ahli Bersatu — bertanding sebagai calon terus gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRU15 pada 2022, ketika Bersatu masih menjadi komponen GRS.

GRS menggugurkan Bersatu sebagai ahli gabungan selepas PRU15.

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee sebelum ini dilaporkan berkata parti telah mengeluarkan surat pemecatan kepada keempat-empat Ahli Parlimen itu pada 21 Dis 2022.

Beliau berkata tindakan itu kerana mereka telah duduk bersama blok kerajaan semasa sidang Dewan Rakyat pada 19 Dis 2022.

Kiandee mendakwa tindakan mereka mencetuskan Perkara 49A Perlembagaan, yang menetapkan bahawa Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat parti kecuali jika mereka dipecat oleh parti atau jika parti itu dibubarkan atau dibatalkan pendaftarannya.

Bersatu telah memfailkan lima persoalan undang-undang bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk rayuan mereka didengar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.