Bersama nafi khabar angin kerjasama dengan Bersatu, Muda, Pejuang

Bersama nafi khabar angin kerjasama dengan Bersatu, Muda, Pejuang

Ini susulan hantaran dua pemimpin Bersatu di Facebook yang seolah-olah beri bayangan wujud pakatan dengan empat parti itu.

Syukri Razab Rasid Abu Bakar
Presiden Bersama Syukri Razab (kiri) berkata parti itu fokus gerak solo di PRN Johor, manakala Ketua Penerangan Muda, Rasid Abu Bakar berkata parti itu runding dengan semua parti pembangkang bagi elak pertindahan kerusi.
PETALING JAYA:
Parti Bersama Malaysia (Bersama) menolak khabar angin bahawa parti yang dianggotai Rafizi Ramli itu akan berkerjasama dengan Bersatu, Muda dan Pejuang dalam PRN Johor.

Presiden Bersama, Syukri Razab, berkata khabar angin yang tercetus susulan hantaran dua pemimpin Bersatu itu adalah tidak betul.

“Bersama fokus bergerak secara solo mengikut potensi kerusi,” katanya ringkas kepada FMT.

Sementara itu, Ketua Penerangan Muda, Rasid Abu Bakar, berkata parti itu berunding dengan semua parti pembangkang mengenai kemungkinan membentuk pakatan bagi menghadapi PRN itu.

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk mengurangkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang.

“Setakat ini, satu-satunya pakatan yang kami ada adalah dengan Parti Sosialis Malaysia.”

Khabar angin mengenai kerjasama antara Bersama, Bersatu, Muda dan Pejuang tercetus selepas dua pemimpin Bersatu memuat naik hantaran Facebook seolah-olah kerjasama itu bakal terjalin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Rafiq Abdullah, hanya memuat naik frasa “Pejuang-Muda-Bersama-Bersatu”.

Ketua Penaja Bersatu Padang Rengas, Saiful Adli Arshad pula menulis nama beberapa pemimpin daripada keempat-empat parti tersebut di Facebook sehingga mencetuskan tanda tanya maksud hantaran itu.

“TS Muhyiddin, Syed Saddiq, Radzi Jidin, Azmin Ali, Rafizi Ramli, Mukhriz,” tulis Saiful, yang juga bekas setiausaha politik kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Radzi Jidin merupakan naib presiden Bersatu, manakala Azmin Ali ialah setiausaha agung parti itu.

Mukhriz Mahathir pula ialah presiden Pejuang, manakala Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan presiden yang juga pengasas Muda sebelum digantikan oleh penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz.

Tidak dapat dipastikan sama ada dua pemimpin Bersatu itu merujuk kepada kemungkinan pembentukan pakatan bagi PRN Johor atau kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.

FMT telah menghubungi Azmin untuk mendapatkan komen.

Perkembangan itu berlaku selepas Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menggesa PAS dan Umno bekerjasama dalam PRN Johor, sambil menyifatkan ia sebagai masa yang sesuai untuk menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional.

Hubungan antara PAS dan Bersatu ketika ini semakin tegang, dengan Jawatankuasa Pusat PAS dijadual bermesyuarat minggu depan bagi menentukan hala tuju hubungan kedua-dua parti.

Dua minggu lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata parti itu sedang menilai semula hubungannya dengan Bersatu dan berkemungkinan akan menghadapi PRU akan datang tanpa parti yang dipimpin Muhyiddin itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.