
Zaliha berkata sebagai sebuah negara demokrasi, mana-mana parti politik bebas dan mempunyai hak untuk bertanding di mana-mana pilihan raya tetapi pada akhirnya rakyat yang akan membuat keputusan.
“PKR Johor tidak akan teralih fokus dengan perkembangan politik yang berlaku. Kami komited dengan agenda reformasi sejak dari awal penubuhan lagi. Kami yakin rakyat serta akar umbi tahu menilai kesetiaan terhadap prinsip perjuangan ini.
“Pada akhirnya, rakyat Johor akan menilai pemimpin berdasarkan rekod prestasi yang telah ditunjukkan. Rakyat Johor pastinya bijak membuat penilaian,” katanya kepada FMT.
Terdahulu hari ini, Rafizi dan seorang lagi bekas pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan parti Bersama, yang dilancarkan semula pada 17 Mei lalu akan bertanding dalam PRN Johor.
Rafizi dan Nik Nazmi mengambil alih Bersama selepas meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, sebelum keluar daripada PKR.
DUN Johor dibubarkan Isnin lalu, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.