Hasrat kerjasama Umno-DAP hanya kenyataan peribadi Puad

Hasrat kerjasama Umno-DAP hanya kenyataan peribadi Puad

Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman berkata keputusan akhir berkait perkara itu akan diputuskan bersama rakan gabungan Barisan Nasional.

Abdul Halim Suleiman berkata fokus Umno Johor kini untuk menyelesaikan isu berbangkit dengan MIC dan MCA sebelum memikirkan kerjasama parti lain. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kenyataan Adun Rengit Puad Zarkashi berkait hasrat meneruskan kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP pada PRU16 hanya pandangan peribadi, kata Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman.

Bercakap kepada FMT, keputusan akhir berkait perkara itu akan diputuskan secara bersama rakan gabungan Barisan Nasional (BN) termasuk MCA yang sebelum ini menolak kerjasama dengan DAP.

Katanya, pada peringkat awal ini BN akan menyelesaikan secara dalaman isu berbangkit dengan MCA dan MIC sebelum memikirkan perkara lain.

“Bagi saya PH sendiri menghadapi masalah dalaman yang harus mereka selesaikan dan kita tidak campur.

“Kita sendiri ada masalah dengan MIC, MCA jadi kita selesai masalah kita secara dalaman bukan secara terbuka di media sosial.

“Fokus kita perkemas komponen masing-masing kemudian baru fikir soal kerjasama lain,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Puad yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, parti itu berhasrat meneruskan kerjasama dengan PH termasuk DAP pada PRU16.

Kenyataan Puad dibuat selepas beliau mencabar MCA menentukan kedudukan dalam BN sekarang, tanpa perlu menunggu Umno menyatakan pendirian mengenai kerjasama dengan PH menjelang PRU16.

Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ahad lalu meluluskan resolusi menolak kerjasama dengan DAP pada PRU16 dengan alasan ideologi berbeza dua parti itu.

Presiden MCA, Wee Ka Siong, dilaporkan berkata parti itu juga akan menentukan hala tuju sendiri jika mana-mana parti komponen BN bekerjasama dengan DAP dalam apa jua bentuk semasa pilihan raya.

Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, pula berkata keputusan kerjasama dengan DAP di Johor akan diputuskan pimpinan Umno pusat dengan mengambil kira pandangan pemimpin negeri.

“Ia turut mengambil kira realiti politik semasa.

“BN dan Umno Johor perlu konsisten dalam mengekalkan kesederhanaan di Johor dan memastikan setiap kaum diwakili secara adil dalam pembentukan kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.