Aminuddin jawab luahan kecewa Tok Mat esok

Aminuddin jawab luahan kecewa Tok Mat esok

Semalam, Mohamad Hasan luah rasa kecewa kerana agihan jawatan politik antara BN dan PH di Negeri Sembilan tidak selaras kerjasama peringkat persekutuan.

Aminuddin Harun akan jawab kenyataan Mohamad Hasan berkait isu pembahagian jawatan politik antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun akan menjawab isu pembahagian jawatan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa tidak selaras semangat kerjasama diamalkan di peringkat persekutuan, esok.

Aminuddin berkata, isu dibangkitkan Pengerusi BN Negeri Sembilan Mohamad Hasan akan dijelaskannya menerusi sesi penggulungan pada sidang DUN.

“Esok saya akan gulung,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Mohamad yang juga Adun Rantau dalam perbahasan di DUN Negeri Sembilan, semalam.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat meluahkan rasa kecewa berhubung isu itu dan menegaskan pembahagian jawatan patut dibuat secara adil dan seimbang, seperti diamalkan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut membangkitkan isu pembahagian dua jawatan senator kepada wakil PH, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau kecewa kerana janji di peringkat persekutuan untuk mengurus negara bersama tidak dilaksanakan di negeri itu.

Justeru, Mohamad yang juga menteri luar negeri berharap perkara sedemikian tidak berulang pada masa akan datang kerana boleh menimbulkan persoalan, terutama di peringkat akar umbi Umno.

PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas mendapat majoriti dua pertiga apabila memenangi 31 daripada 36 DUN pada PRN 2023.

Kerusi dimenangi ialah DUN Chennah, Pertang, Sungai Lui, Klawang, Bahau, Lenggeng, Juasseh, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat, Ampangan, Pilah dan Bukit Kepayang.

Rahang, Seremban Jaya, Lukut, Repah, Sri Tanjong, Chembong, Gemencheh, Seri Menanti, Jeram Padang, Palong, Rantau, Mambau, Senaling, Johol, Kota, Chuah dan Linggi.

Perikatan Nasional (PN) pula menang di Labu, Paroi, Bagan Pinang, Gemas dan Serting.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.