Tunku Mahkota Ismail rasmi landasan berkembar elektrik Gemas-JB

Tunku Mahkota Ismail rasmi landasan berkembar elektrik Gemas-JB

Perjalanan KL Sentral- JB Sentral akan dipendekkan kepada empat jam 20 minit berbanding tujuh jam sebelum ini.

anwar ibrahim, tengku mahkota johor ismail, onn ghazi
Tunku Mahkota Ismail (dua, kiri) berkenan mencemar duli memasukkan replika kunci sebagai tanda simbolik penyerahan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru diiringi Anwar Ibrahim (kiri). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menyempurnakan pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, projek yang melengkapkan jaringan pengangkutan rel bagi laluan selatan antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Perasmian itu menandakan Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral akan beroperasi secara rasmi esok sekali gus melengkapkan sambungan laluan yang sebelum ini berakhir di Kluang, lapor Bernama.

Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru sepanjang 192 kilometer itu dibangunkan SIPP-YTL JV sebagai subkontraktor utama tempatan.

Turut hadir, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah Urusan SIPP-YTL JV Yeoh Seok Hong.

Anwar dalam ucapannya berkata projek itu disifatkan sebagai model pembangunan negara dalam pembinaan infrastruktur pengangkutan.

“Rangkaian pengangkutan dan jaringan pengangkutan diperlukan untuk membangunkan negara, kita perlukan lapangan terbang, pelabuhan serta lebuh raya.

“Kita hampir lengkapkan prasarana asas dan cabarannya ialah memastikan manfaat itu diperoleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata projek berkenaan memodenkan sepenuhnya koridor rel di Johor, menerusi pembinaan 11 stesen baharu yang direka berteraskan identiti dan warisan negeri.

Menurutnya penumpang kini menikmati perjalanan lebih pantas dan efisien apabila tempoh masa antara KL Sentral dan JB Sentral, dipendekkan kepada empat jam 20 minit berbanding tujuh jam sebelum ini dengan kelajuan sehingga 140 kilometer per jam.

“Pembinaan landasan ini menuntut ketepatan kejuruteraan yang tinggi termasuk jambatan, stesen, depot sehingga sistem sokongan.

“Setiap komponen dibina mengikut piawaian bertaraf dunia bagi mencapai prestasi dan kecekapan terbaik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.