
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berjiwa besar apabila menyerahkan jawatan menteri besar Perak kepada BN walaupun jumlah kerusinya lebih banyak.
“Apabila bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah titahkan pembentukan kerajaan perpaduan, kami setuju kerjasama dengan Anwar kerana keikhlasan yang ditunjukkannya,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) hari ini.
Menurutnya, sejak itu, Anwar sentiasa prihatin terhadap permintaan pelbagai parti komponen dalam pentadbiran kerajaan, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ahli politik yang cerdik tidak cetus masalah, sebaliknya pilih berunding dengan baik. PRU bakal tiba dan pasti ada tuntutan kerusi. Perkara ini boleh dirunding,” katanya.
“Sebarang masalah dalaman boleh dibangkitkan pada perhimpunan agung kita atau parti masing-masing … tetapi janganlah pagi cakap lain, petang cakap lain.”
Pada 10 Dis lepas, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menzahirkan rasa kesal berhubung agihan lantikan politik di Negeri Sembilan yang disifatkan tidak mencerminkan semangat kerjasama pada peringkat pusat.
Beliau berkata, pembahagian jawatan sewajarnya dilaksanakan secara adil dan berkadar, sebagaimana komposisi Jemaah Menteri dalam kerajaan perpaduan, yang turut menyaksikan beliau menyandang portfolio menteri luar.
BN kini menguasai 14 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, berbanding PH dengan 17 kerusi dan PN lima kerusi. Namun, wakil rakyat PH membarisi tujuh daripada 11 jawatan exco kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Aminuddin Harun, manakala BN hanya diberikan empat jawatan.
Rombakan Kabinet belum dibincang
Sementara itu, Zahid memaklumkan perdana menteri belum mengadakan sebarang perbincangan atau meminta senarai nama serta cadangan portfolio daripada pihaknya susulan spekulasi rombakan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, sebarang urusan berkaitan rombakan Jemaah Menteri ialah hak mutlak dan di bawah budi bicara perdana menteri sepenuhnya.
Semalam, Anwar enggan mengulas lanjut mengenai tarikh pengumuman calon baharu bagi mengisi empat kekosongan portfolio menteri.