Tiada jalan pulang jika tinggalkan BN, Zahid beri amaran

Tiada jalan pulang jika tinggalkan BN, Zahid beri amaran

Kenyataan pengerusi BN itu dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa MIC dan MCA mungkin meninggalkan gabungan itu.

ZAHID HAMIDI BN
Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi memberi peringatan kepada parti komponen supaya tidak membuat keputusan terburu-buru dengan meninggalkan gabungan itu, kerana mereka pasti menyesal.
SEMENYIH:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi memberi peringatan kepada parti komponen yang berhasrat untuk meninggalkan gabungan itu supaya membuat pertimbangan secara mendalam kerana mereka mungkin tidak akan diterima semula pada masa depan.

“Kalau tinggalkan Barisan Nasional, tidak ada jalan pulang,” katanya ketika merasmikan perhimpunan agung parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF).

“Jangan desak kepimpinan BM untuk buat keputusan…. Hanya masa akan menentukan kemana hala tuju kamu. (sama ada benar atau salah).”

Walaupun Zahid tidak menyatakan parti komponen BN yang dimaksudkan, kenyataannya dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa MIC dan MCA mungkin meninggalkan gabungan itu.

Umno, MCA dan MIC merupakan anggota pengasas Parti Perikatan sebelum merdeka, yang secara rasmi menjadi BN pada 1974.

Pada 7 Dis, Presiden MCA Wee Ka Siong dilaporkan berkata parti itu akan menilai semula kedudukannya dalam BN sekiranya Umno, bertegas untuk meneruskan kerjasama dengan parti-parti lain di luar gabungan tersebut, khususnya DAP.

MIC juga berada di persimpangan sama ada untuk meninggalkan BN dan malah telah menghantar pertanyaan kepada Perikatan Nasional bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan menyertai gabungan pembangkang itu.

Zahid berkata landskap politik negara kekal dinamik, dengan pilihan raya umum akan datang kurang daripada dua tahun lagi.

“Bacaan saya landskap politik akan berubah. Jangan menyesal sekiranya meninggalkan BN kerana perubahan landskap politik” katanya.

Permohonan IPF untuk keahlian penuh

Dalam perkembangan berasingan, Zahid memberi bayangan bahawa permohonan IPF untuk menaikkan statusnya daripada ‘Rakan BN’ kepada parti komponen penuh berkemungkinan tidak akan mendapat tentangan daripada kepimpinan teras gabungan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan sedemikian memerlukan konsensus dalam kalangan parti teras BN.

Terdahulu dalam ucapannya, Presiden IPF T Loganathan mengulangi rayuan parti itu untuk diterima sebagai anggota penuh BN selepas menyokong gabungan tersebut selama 35 tahun.

IPF merupakan parti serpihan MIC yang ditubuhkan pada 1990.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.