BN akan runding calon PRK Kinabatangan, Lamag

BN akan runding calon PRK Kinabatangan, Lamag

Perkara berkenaan perlu dibincangkan memandangkan BN sebahagian kerajaan Sabah, kata Pengerusi Zahid Hamidi.

bendera bn
BN akan adakan rundingan berkenaan calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag. (Gambar EPA Images)
SEMENYIH:
Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perundingan dengan semua pihak, khususnya parti-parti yang membentuk kerajaan negeri Sabah, berhubung calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, susulan kematian penyandang, Bung Moktar Radin.

Pengerusi Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan perlu dibincangkan memandangkan BN sebahagian kerajaan Sabah.

“Oleh kerana kita menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, tidak mustahil untuk kita mengadakan perundingan bukan sahaja dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi juga parti-parti lain yang pernah bertanding di Lamag sebelum ini.

“Bagi Parlimen Kinabatangan, kita juga akan berunding… jika perundingan dengan semua pihak dapat dilakukan, itu adalah kaedah yang lebih baik memandangkan tempoh Parlimen masih berbaki sehingga 24 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF).

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia memaklumkan mesyuarat bagi urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag akan diadakan pada 16 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.