
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi berkata, parti itu berhasrat meneruskan kerjasama dengan PH, termasuk DAP, pada PRU16.
Beliau mendakwa, MCA sekadar mencari alasan untuk meninggalkan BN susulan resolusi parti itu pada perhimpunan agungnya hari ini, iaitu untuk membawa haluan sendiri sekiranya komponen BN lain bertegas mahu bekerjasama dengan DAP.
Katanya, MCA mungkin berasakan ia berpeluang meraih kembali sokongan kaum Cina secara bersendirian susulan kekalahan teruk DAP pada PRN Sabah hujung minggu lepas, apabila komuniti itu memilih menyokong Warisan.
“Peluang semakin terbuka. MCA mahu bersaing dengan DAP untuk mendapatkan balik kepercayaan pengundi Cina. Sebab itu MCA mencari alasan untuk keluar BN.
“Umno tidak bimbang terhadap resolusi MCA itu … Pendirian (kami) cukup jelas. Umno akan bertanding solo guna lambang BN tetapi dalam masa sama akan terus bekerjasama dengan PH pada PRU16 nanti.
“Justeru MCA tidak perlu berdolak dalik. Terserah kepada mereka membuat keputusan muktamad,” katanya kepada FMT.
Puad, yang juga Adun Rengit di Johor, turut menjangkakan MCA akan menjadi lebih lantang dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan masyarakat Cina, manakala DAP pula akan menjadi ‘kumpulan pendesak’ dalam kerajaan perpaduan.
Terdahulu hari ini, Perhimpunan Agung MCA meluluskan resolusi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU16.
Perwakilan turut bersetuju agar parti itu menentukan haluan sendiri sekiranya mana-mana komponen BN berkeras mahu bekerjasama dengan DAP pada PRU16, dengan alasan semangat gabungan itu sudah mati.
Pada Julai lepas, Pengerusi BN Zahid Hamidi menyatakan gabungan itu merancang meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU16 walaupun timbul desakan agar BN bergerak solo.
BN yang diterajui Umno memainkan peranan penting membolehkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan susulan keadaan Parlimen tergantung selepas PRU 2022.
Rakan komponen BN, MIC, juga kini berada di persimpangan, sama ada mahu meninggalkan gabungan itu atau tidak, malah pernah bertanya lebih lanjut kepada Perikatan Nasional (PN) mengenai penyertaan.