PAS sedia dialog dengan MCA, elak persepsi tak tepat

PAS sedia dialog dengan MCA, elak persepsi tak tepat

Ia selepas Presiden MCA Wee Ka Siong tolak kemungkinan menyertai PN yang turut dinaungi PAS kerana masyarakat Cina sukar menerima ideologi parti Islam itu.

Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu tidak memusuhi kaum atau agama lain, sebaliknya sentiasa terbuka berunding dan memilih kaedah harmoni menyelesaikan perbezaan.
PETALING JAYA:
PAS sedia berdialog dengan MCA bagi menjernihkan kekeliruan berhubung pendirian dan dasar parti itu selepas ia menolak kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.

Ia susulan kenyataan Presiden MCA, Wee Ka Siong semalam, menolak kemungkinan menyertai PN yang turut dinaungi PAS kerana masyarakat Cina sukar menerima ideologi parti Islam itu.

Kenyataan itu selepas Wee dilaporkan berkata MCA akan menilai semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN), jika Umno terus bekerjasama dengan parti luar, khususnya DAP.

Katanya, MCA tidak akan ‘berdiam diri’ dan akan membuat keputusan terbaik untuk menjaga kepentingan parti itu.

Fadhli berkata, pandangan Wee kerana PAS menganggotai PN wajar dijawab melalui dialog terbuka, bukannya melalui persepsi tidak lengkap.

“MCA sendiri pernah bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan PN dan mengetahui secara dekat pendekatan PAS ketika mentadbir,” katanya dalam kenyataan.

“Sepanjang tempoh itu, tidak pernah timbul sebarang konflik besar antara PAS dan MCA yang membawa kepada perbalahan terbuka. Situasi ini berbeza dengan apa yang kita lihat dalam kalangan parti kerajaan hari ini, yang sering berdebat di khalayak secara tidak produktif.”

Fadhli mengingatkan MCA terhadap pengalaman mentadbir bersama yang sepatutnya menjadi asas kefahaman PAS bukan parti memusuhi kaum atau agama lain, sebaliknya sentiasa terbuka untuk berunding dan memilih kaedah harmoni bagi menyelesaikan perbezaan.

“Jika masih wujud salah faham atau keraguan, pintu PAS sentiasa terbuka untuk dialog.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.