
“Dalam kes tembakan baru-baru ini melibatkan tiga lelaki India, sukar untuk saya terima atau restuinya, sebagai orang beriman.
“Tidak kira sama ada mangsa berbangsa India, Melayu, Cina, atau Dayak; siasatan mesti telus dan terbuka,” katanya pada majlis minum petang Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia hari ini
Beliau berkata, itulah sebabnya beliau menggesa agar siasatan telus dan terbuka dijalankan berhubung dakwaan tiga lelaki India itu ditembak ‘execution style’ oleh polis di Melaka pada 24 Nov lepas.
Anwar turut menyeru tindakan bersepadu menentang rasuah, dengan menyatakan wujudnya ‘defisit moral’ dalam kalangan pemimpin politik dan korporat di Malaysia serta di seluruh dunia, di mana rasuah sering dianggap sebagai sesuatu yang boleh diterima.
“Kita kadangkala bercakap dengan retorik agama yang hebat, namun kita restui rasuah dan biarkan golongan terpinggir tertindas. Saya rasa ini suatu pertarungan yang hebat, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya.
Kes tiga lelaki India didakwa dibunuh oleh polis itu pada mulanya disiasat sebagai percubaan membunuh selepas Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar mendakwa ketiga-tiga suspek ialah perompak bersiri yang menyerang anggota polis dengan parang.
Bagaimanapun, peguam keluarga ketiga-tiga lelaki tersebut – M Puspanathan, 21; T Poovaneswaran, 24; dan G Logeswaran, 29, menyatakan rakaman audio dan bukti forensik mencadangkan mangsa ditembak ‘execution style’.
Pada 5 Dis lepas, Anwar mengarahkan satu siasatan telus dijalankan berhubung kejadian itu, menegaskan bahawa sebarang aduan mencadangkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mesti diteliti secara terbuka.
Perlindungan hak beribadat
Secara berasingan, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berikrar bahawa hak rakyat Malaysia untuk mengamalkan dan menyebarkan agama mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan akan dilindungi sepenuhnya.
Beliau berkata, kepelbagaian di Malaysia harus dilihat sebagai suatu anugerah yang perlu dihormati, bukannya cabaran yang perlu diatasi.
“Doa dan harapan saya adalah agar rakyat Malaysia terus hidup aman damai antara satu sama lain dengan saling mendukung, menyokong dan memperkasakan sesama kita,” katanya.