
Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air menyeru pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan polis, dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal yang terlibat, mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata sebarang unsur kecuaian, kegagalan pematuhan tatacara operasi standard (SOP) atau kelemahan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dan mesti diambil tindakan sewajarnya.
“Saya turut mengarahkan supaya pihak pengurusan loji dan kontraktor terlibat memberikan kerjasama penuh kepada siasatan serta memastikan semua SOP keselamatan, penyelenggaraan peralatan dan pengurusan risiko dipatuhi sepenuhnya bagi mengelak tragedi seumpama ini daripada berulang.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan demi memastikan tahap keselamatan industri tenaga negara sentiasa berada pada tahap tertinggi,” menurut kenyataan.
Fadillah berkata keselamatan dan kebajikan pekerja dalam sektor tenaga sentiasa menjadi keutamaan kementerian dan setiap nyawa adalah amat berharga.
Beliau turut merakamkan rasa simpati dan menzahirkan ucapan takziah terhadap dua mangsa yang terkorban dalam kejadian itu iaitu Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22.
“Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini. Saya juga mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan sepenuhnya,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba, Mahadir Mamat, dilaporkan berkata dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren yang mengangkat arang batu runtuh dalam kejadian di Loji Janakuasa Tanjung Bin dekat Kukup, Pontian, 1 tengah hari tadi.
Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan kira-kira 3 petang sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga lagi pekerja lelaki tempatan yang cedera dibawa ke Hospital Pontian untuk rawatan.