
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, dengan jumlah kes positif hampir 800 sehari dan 80% daripadanya terdiri daripada mereka yang tidak menerima vaksin, wujud keperluan mendesak untuk meningkatkan bilangan penerima vaksin di negeri itu.
Setakat ini katanya, hanya lebih 20% populasi orang dewasa di negeri itu telah menerima vaksin dan Pulau Pinang berada di tangga ke-10 daripada 14 negeri dari segi jumlah suntikan.
Beliau berkata, “operasi lonjakan kapasiti” mirip yang dilaksanakan di Lembah Klang patut turut diadakan di Pulau Pinang untuk meningkatkan angka vaksinasi.
“Kerajaan Pulau Pinang telah memutuskan untuk tidak membeli vaksin dan memilih untuk bergantung kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok.
“Kerajaan persekutuan sepatutnya bertindak balas terhadap kepercayaan diberikan kerajaan negeri untuk memastikan penyampaian awal vaksin dan tidak membiarkan Pulau Pinang ketinggalan. Lagipun, ia telah menjanjikan vaksin percuma untuk semua.
“Lantik seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang yang dapat diterima kerajaan negeri dan persekutuan untuk menyelaras dan mempercepat pelaksanaan vaksinasi dengan lancar,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, Pulau Pinang berhak mendapat semua bantuan yang boleh kerana ia adalah antara tiga penyumbang cukai persekutuan teratas di negara ini.
Menurut PICK, 1.28 juta daripada sasaran 1.3 juta populasi Pulau Pinang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, di mana 43% daripadanya telah mendapat dos pertama, iaitu seramai 298,236 orang.
Seramai 181,886 orang telah lengkap divaksin.
Pulau Pinang mencatatkan 7,681 kes Covid-19 dalam dua minggu kebelakangan ini, setakat semalam, dengan 3,987 kes aktif.