Suami dakwa polis cedera, kasari isteri

Suami dakwa polis cedera, kasari isteri

Polis buka siasatan susulan dakwaan terhadap anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Wangsa Maju.

Situasi dikatakan berlaku ketika serbuan polis di kediaman berkenaan, bulan lalu. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Satu kertas enkuiri polis telah dibuka berhubung laporan seorang pemilik Facebook bernama Gan Gong yang mendakwa isterinya dicederakan dan dikasari oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ketika ditahan, bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju D Saralathan berkata pihaknya turut mengesan hantaran berkenaan yang mengandungi gambar serta laporan polis berhubung dakwaan itu.

“Ini susulan laporan dibuat oleh pengadu bagi tujuan menyiasat tindakan polis berkenaan sama ada mengikut peraturan dan undang-undang atau sebaliknya. Siasatan yang terperinci dan telus akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya semakan pada 25 Julai lepas kira-kira pukul 4.40 petang mendapati pasukan itu telah menyerbu sebuah rumah di Setapak.

“Semasa serbuan lelaki berusia 41 tahun dan isterinya 31 tahun telah membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit bagi mendapatkan perhatian penduduk sekitar,” katanya.

“Mereka juga tidak memberikan kerjasama dan telah menghalang polis daripada menjalankan tugas sehingga telah berlaku pergelutan antara polis dengan pasangan itu,” katanya.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke pejabat narkotik IPD Wangsa Maju untuk ujian saringan air kencing dan didapati suspek lelaki positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, manakala suspek wanita adalah negatif.

Kedua-dua suspek turut ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Saralathan berkata selepas dibebaskan dengan jaminan polis pada 31 Julai pukul 2.32 petang, pasangan itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan juga diminta untuk menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.