
Parti komponen BN itu berkata, hakikat pada masa ini jelas bahawa tiada satu pun gabungan parti yang boleh membentuk sebuah kerajaan stabil.
“Ini merupakan pendirian BN dari tahun lepas dan MCA mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankannya.
“Maka jika kerajaan PN dijatuhkan sekarang, ia hanya akan mengheret negara ke dalam krisis politik yang tidak berkesudahan dan pastinya memudaratkan rakyat serta negara,” menurut kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat Biro Politik parti itu semalam.
MCA turut berpendapat, keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen September ini yang sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong adalah langkah tepat, berdasarkan prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
“Dalam masa sama, kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang kian merudum, yakni kestabilan politik adalah penting dalam melindungi nyawa dan kehidupan rakyat,” tegas parti itu.
Pendirian MCA itu bertentangan dengan keputusan diambil rakan komponennya Umno Selasa lalu yang sebulat suara menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin.
Dalam pada itu, MCA tidak bersetuju dengan langkah kerajaan yang terus menutup beberapa sektor ekonomi negara dan mencadangkan agar Putrajaya membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat susulan kejayaan program vaksinasi yang semakin menghampiri matlamat disasarkan.
“Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang agak kurang berkesan untuk mengurangkan jumlah kes jangkitan.
“PKP yang berterusan ini akan terus meningkatkan kesengsaraan rakyat yang berhadapan dengan kesukaran mencari rezeki. Vaksinasi rakyat secara menyeluruh merupakan jalan terbaik untuk negara sekarang,” katanya.