
Ia menyusul pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini yang mendakwa selain beliau dan 18 Ahli Parlimen BN, ada 12 lagi wakil rakyat BN masih menyokong kerajaan PN, namun tidak dapat menghadiri sidang media hari ini.
Najib berkata, 21 Ahli Parlimen BN hadir dalam sidang media Ismail hari ini untuk menyuarakan sokongan kepada kerajaan PN, manakala 10 lagi wakil rakyat BN yang turut menyokong tidak hadir.
“Tapi, hari itu bukan kata ada 40 orang BN yang sokong PN untuk menjadikan sokongan majoriti sebanyak 115? Jadi, PM ke-8 masih ada sokongan majoriti ke, jika angka 40 itu sudah jatuh ke 21 atau 31?” soalnya dalam catatan Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu dengan nada sinis berkata, usaha kerajaan melaksanakan darurat yang didakwanya “scheme of things” selama tujuh bulan nampaknya tidak membuahkan hasil, selepas sokongan kepadanya dilihat semakin berkurangan.
“Takkan dah usaha begitu lama dengan kuasa penuh darurat ‘scheme of things’ selama tujuh bulan untuk pujuk/ugut, tapi nombor semakin mengecil?” dakwanya.
Terdahulu, Ismail dalam sidang media hari ini berkata, beliau tidak akan meletak jawatan dalam kerajaan, begitu juga dengan menteri Umno lain seperti Khairy Jamaluddin, Dr Adham Baba, Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa.