Keluarga tuntut pampasan atas kematian lelaki selepas divaksin

Keluarga tuntut pampasan atas kematian lelaki selepas divaksin

Ahli keluarga pesakit strok, Tan Yee Tom mendakwa warga emas itu meninggal dunia Sabtu lalu, beberapa jam selepas beliau menerima dos kedua vaksin.

Pengerusi Biro Aduan Awam DAP Wilayah Persekutuan, Yew Jia Haur (kiri) bersama Tan Yee Ching (kanan) dan Tan Yi Ken (tengah), anak Tan Yee Tom yang meninggal dunia 1 Ogos lalu.
KUALA LUMPUR:
Ahli keluarga seorang lelaki kelainan upaya menuntut pampasan daripada kerajaan atas kematiannya yang didakwa akibat vaksin Covid-19.

Tan Yee Ching berkata, abangnya yang berusia 58 tahun, Yee Tom, meninggal dunia 1 Ogos lalu, beberapa jam selepas beliau menerima dos kedua vaksin.

“Tekanan darahnya melonjak kepada 260 dan kami terkejut dengannya.

“Beliau ada mengambil ubat tekanan darah tinggi, tetapi tekanan darahnya tidak pernah melonjak begitu tinggi sebelum ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Keluarganya kemudian menghantar Yee Tom ke hospital untuk dirawat.

Dalam sijil kematiannya dinyatakan lelaki itu meninggal dunia akibat “kecemasan hipertensif dengan pendarahan intrakranium besar.”

Mereka kemudian membuat laporan polis berhubung kematiannya.

Yee Ching berkata, mendiang abangnya sihat, walaupun mengalami strok dan menjadi individu kelainan upaya sejak lapan tahun lalu.

“Beliau menjalani kehidupan tanpa tekanan. Kami (adik-beradik) menjaga beliau selepas stroknya.

“Kami turut mengisytiharkan keadaan kesihatannya sebelum vaksinasinya. Tiada apa yang kami perlu sembunyikan.”

Ditanya jika keluarganya meminta bedah siasat dilakukan ke atas mayat abangnya, Yee Ching berkata, mereka tidak berbuat demikian.

“Ketika itu, kami semua sedang berkabung dan terkejut dengan pemergian abang saya.”

Pengerusi Biro Aduan Awam DAP Wilayah Persekutuan, Yew Jia Haur berkata, mereka akan membantu keluarga itu memohon pampasan di bawah skim kecederaan vaksin khas kerajaan.

Beliau menasihatkan waris lain yang menghadapi keadaan sama untuk memastikan mereka meminta hospital melakukan bedah siasat.

Kerajaan pada awal tahun ini mengumumkan satu skim akan diwujudkan untuk membayar pampasan kepada mereka yang menghadapi kesan sampingan daripada vaksinasi.

Bayaran sehingga RM500,000 akan diberikan kepada keluarga penerima vaksin yang meninggal dunia atau mengalami hilang upaya.

Sehingga RM50,000 akan dibayar kepada mereka yang mengalami kesan sampingan teruk dan dimasukkan ke hospital selepas divaksin.

FMT sudah menghubungi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.