
Menteri Loke Siew Fook berkata, langkah itu antara usaha memperkukuh undang-undang terhadap pemandu bawah pengaruh alkohol dan dadah.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Klang.
Ketua Polis Klang Selatan, Lim Jit Huey, berkata impak pertembungan mengakibatkan mangsa berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas kereta berasingan dalam nahas sekitar 11.40 pagi.
Sementara itu, Loke berkata, bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
Katanya, bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat boleh dikenakan iaitu penjara antara 15 hingga 20 tahun serta denda sehingga RM150,000.
“MOT menggesa polis menyegerakan siasatan kes ini secara menyeluruh agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, berkata tindakan tegas perlu diambil bagi menangani peningkatan kes pemanduan bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Katanya, jalan raya tidak boleh menjadi tempat yang menakutkan bagi rakyat.
“Kerajaan perlu segera mengkaji semula dan memperketat undang-undang sedia ada. Mereka yang memandu secara melulu dan menyebabkan kematian ketika mabuk mesti berdepan hukuman paling berat sebagai pengajaran setimpal,” kata Ahli Parlimen Tapah.
Beliau berkata, penggunaan kamera had laju, sekatan jalan raya lebih kerap dan kehadiran polis yang lebih ketara perlu dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang.
Menurutnya, penguatkuasaan perlu disertai usaha meningkatkan kesedaran bagi memastikan keselamatan jalan raya terus terpelihara.