
PETALING JAYA: Seorang lelaki rentung apabila kereta dipandunya merempuh pokok sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Sungai Jai, Lenggeng, Negeri Sembilan, kira-kira 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Mohd Fazley Ab Rahman, berkata kereta dipandu lelaki berusia 33 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan hingga ke bahu kanan jalan.
“Mangsa seterusnya merempuh pokok mengakibatkan keretanya terbakar.
“Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dipercayai meninggal dunia serta-merta,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.