Peminta sedekah maut tertiarap depan bank disahkan positif Covid-19

Peminta sedekah maut tertiarap depan bank disahkan positif Covid-19

Warga emas itu kerap kelihatan berada di kawasan kaki lima sebuah bank di Lagenda Height, Sungai Petani.

Ketika kejadian mangsa berada dalam keadaan tidak bermaya dan jatuh tertiarap lalu meninggal dunia. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Seorang wanita warga emas yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di hadapan sebuah bank di Lagenda Height, Sungai Petani, semalam, disahkan positif Covid-19, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata, kehadiran mangsa berusia 63 tahun di premis itu bertujuan meminta sedekah dan wanita berkenaan kerap kelihatan berada di kawasan kaki lima bank terbabit.

“Mangsa sentiasa mengunjungi premis bank terbabit seawal 9 pagi setiap hari. Saksi kejadian memaklumkan melihat mangsa ketika kejadian berada dalam keadaan tidak bermaya dan duduk di hadapan pintu masuk kiosk mesin pengeluaran wang (ATM).

“Secara tiba-tiba mangsa jatuh tertiarap dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ujian calitan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, mengesahkan mangsa positif Covid-19.

Katanya, polis dalam proses mengesan waris mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.