PPV sesak, Anwar kritik tiada pemantauan

PPV sesak, Anwar kritik tiada pemantauan

Ketua pembangkang berkata, tindakan itu bukan cara yang betul untuk mengendalikan PPV lebih-lebih lagi jika melibatkan PPV mega.

Anwar Ibrahim mempertikai pengendalian pusat pemberian vaksin.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengkritik kesesakan orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang besar sehingga tiada sebarang pemantauan pihak berkuasa.

Beliau berkata tindakan itu bukan cara yang betul untuk mengendalikan PPV, lebih-lebih lagi jika melibatkan PPV mega.

“Ini sekarang ini di pusat PPV pun tak dipantau.

“Orang kadang-kadang kerumun satu tempat sebelum masuk ke dewan mega. Ini bukan cara kita kendali,” katanya di Facebooknya dalam mengupas isu-isu semasa.

Semalam, video tular berdurasi 7 minit 15 saat tersebar memaparkan kesesakan orang ramai di Rumah Prihatin Hotel Grand Season.

FMT melaporkan PPV di Rumah Prihatin Hotel Grand Season mencetuskan kebimbangan penularan Covid-19 selepas dibanjiri orang ramai untuk divaksinasi.

Situasi berkenaan ditularkan oleh pemilik akaun Instagram, Umirah Mohd Taib yang memberitahu FMT dia ketika itu bersama suami dalam perjalanan ke Kampung Baru dan terkejut melihat kesesakan berkenaan.

Bagaimanapun, Pengurusan Rumah Prihatin Hotel Grand Season kemudian menjelaskan kehadiran orang ramai itu berpunca daripada salah faham dan berita kononnya PPV berkenaan menyediakan perkhidmatan daftar terus (walk-in) untuk bukan warganegara.

Dalam satu kenyataan, pihak Rumah Prihatin Hotel Grand Season, berkata pengambilan vaksin secara daftar terus bagi warga asing adalah di PPV Bukit Jalil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.