Darell kecam kerajaan GRS susulan peningkatan jangkitan di kawasannya

Darell kecam kerajaan GRS susulan peningkatan jangkitan di kawasannya

Timbalan presiden Warisan itu mahu pemimpin akar umbi bertindak aktif menyenarai individu belum divaksin bagi memudahkan kakitangan kesihatan digerakkan.

Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking, bimbang sekatan akibat wabak berterusan didorong proses vaksinasi rendah.
KOTA KINABALU:
Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking mengecam tindakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan peningkatan kes jangkitan baharu di kawasan diwakilinya sejak lebih seminggu lalu.

Darell yang juga timbalan presiden Warisan, mendakwa GRS kurang melihat ke hadapan dan tidak serius melekukkan ancaman wabak di daerah berkenaan.

“Kurang dua minggu lalu, beberapa penduduk Penampang termasuk saya mengingatkan kerajaan GRS bertindak segera mengawal penularan kes di daerah ini.

“Saya juga sudah mencadangkan pendekatan seperti pengenalan keutamaan janji temu bagi meningkatkan program vaksinasi di daerah ini.

“Janji temu berkenaan boleh diurus pemimpin akar umbi dilantik kerajaan bagi mengenalpasti dan menyenaraikan nama individu belum divaksin untuk diserah kepada ketua pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tindakan terbabit akan memperkukuh proses vaksinasi, tambahan pula memudahkan kakitangan kesihatan digerakkan untuk memberi suntikan di kawasan perkampungan dengan cara lebih cepat dan berkesan.

Darell berkata, beliau turut membuat saranan kepada kerajaan untuk turut memperkenal penguatkuasaan dan pemantauan komuniti dalam kalangan pemimpin akar umbi bertujuan mengawasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk.

“Namun, adakah kerajaan GRS mahu mendengar? Tidak. Sebaliknya, mereka berterusan mengenakan sekatan selain hanya membenarkan hanya individu lengkap divaksin masuk ke pasar raya atau makan di restoran.

“Sekatan berkenaan tidak berbeza dengan dua ‘lockdown’ yang dikenakan terdahulu yang pastinya bukan jalan penyelesaian yang kita mahukan. Kita mahukan imuniti kelompok membabitkan 80% populasi divaksinasi,” katanya.

Dalam SOP terbaharu, kerajaan menguatkuasakan semua pengusaha makanan perlu memastikan kakitangan mereka legkap divaksin dan hanya ‘dine-in’ pelanggan dibenarkan sekiranya mempunyai status risiko rendah masuk ke premis mereka.

Selain itu, hanya individu lengkap divaksin sahaja dibenar bekerja dan mengunjungi pasar raya.

Dalam pada itu, badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, berharap kerajaan negeri bukan sahaja mempertingkat kadar vaksinasi, malah “memaksa pengambilan” vaksin demi memantapkan lagi proses vaksinasi di Sabah.

“Kita sekarang hidup dikelilingi virus dan ancaman situasi ini memerlukan disiplin kendiri yang tinggi, terutama pematuhan terhadap SOP,” katanya yang juga pengerusi Act of Kindness Association (Paka) Bartholomew Jingulam.

“Namun, kita melihat masih ramai tidak mempunyai kesedaran mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ di PPV.

“Selain itu, kurang kesedaran mematuhi SOP juga perlu dijangka dengan pihak berkuasa sepatutnya melakukan lebih lagi memastikan semua peraturan dipatuhi di PPV,” katanya.

Kerajaan Sabah sebelum ini mengumumkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan negeri diarah membeli vaksin bagi menangani sebarang risiko berlaku kekurangan bekalan vaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.