Ismail Sabri, Hamzah calon baharu PM, TPM PN ?

Ismail Sabri, Hamzah calon baharu PM, TPM PN ?

Sebilangan Ahli Parlimen mahu mencalonkan Ismail sebagai Perdana Menteri manakala Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri, untuk menerajui kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Sebilangan Ahli Parlimen dikatakan mahu mencalonkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri manakala Hamzah Zainudin sebagai timbalan perdana menteri.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, hari ini dipercayai berhubung rancangan pembentukan kerajaan baharu.

Perjumpaan itu menyusul selepas mesyuarat Ahli Parlimen Bersatu setelah Muhyiddin Yassin meluahkan hasrat meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan dijangka menghantar surat perletakan jawatan apabila menghadap Yang di-Pertuan Agong, esok.

Spekulasi bertebaran sebilangan Ahli Parlimen mahu mencalonkan Ismail sebagai perdana menteri manakala Hamzah dilantik timbalannya, untuk menerajui kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN), Utusan Malaysia melaporkan.

Pertemuan di Royal Chulan dilaporkan bagi mengumpulkan surat akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen untuk menyokong Ismail sebagai perdana menteri.

Antara yang menandatangani SD sedemikian adalah Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz yang dilaporkan berkata, beliau menandatangani dokumen berkenaan hari ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh masa usaha menampilkan Ismail sebagai calon perdana menteri menggantikan Muhyiddin akan berhasil. Ismail dilantik Timbalan Perdana Menteri Julai lalu.

Menurut laporan, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga disebut sebagai calon perdana menteri yang ditampilkan dengan sokongan parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.