Yang tolak tawaran Muhyiddin adalah ‘kelompok gila kuasa’, kata Hadi

Yang tolak tawaran Muhyiddin adalah ‘kelompok gila kuasa’, kata Hadi

Presiden PAS itu mahukan kerajaan PN yang telah memerintah 17 bulan, diberi masa memperbaiki krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara.

Hadi berkata tawaran Muhyiddin kepada semua parti politik bagi mendapatkan kepercayaan terhadap kerajaan PN seharusnya diterima secara positif.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelar pembangkang dan kalangan Ahli Parlimen Umno yang menolak tawaran kerjasama Muhyiddin Yassin sebagai “kelompok gila kuasa”.

Beliau mahukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah memerintah selama 17 bulan, diberikan “masa” untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang membelenggu rakyat.

“Kalangan yang menolak pelawaan (Muhyiddin) untuk bersatu padu menyelamatkan rakyat dan negara, demi memenuhi kehendak politik peribadi yang sempit, adalah kelompok gila kuasa yang tidak mempedulikan nyawa rakyat,” Hadi mendakwa dalam catatan Facebooknya.

PAS sekutu utama Muhyiddin dalam kerajaan PN yang kini terumbang ambing setelah dilaporkan kehilangan majoriti di Dewan Rakyat. Spekulasi bertebaran Muhyiddin akan mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri esok.

PAS sebelum ini menolak keras kerjasama dengan Pakatan Harapan, khususnya DAP, dan kerap menyelar gabungan pembangkang itu sebagai tamak kuasa semata-mata.

Semalam, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata tawaran Muhyiddin itu bermakna “PAS sedia bergantung pada DAP untuk kekal dalam kerajaan.”

Hadi tidak mengulas kenyataan Mahfuz itu, tetapi berkata tawaran Muhyiddin kepada semua parti politik bagi mendapatkan kepercayaan terhadap kerajaan PN seharusnya diterima secara positif.

“Selepas keadaan mengizinkan, maka barulah kita kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahu dengan selesa,” kata beliau.

Dalam mesejnya, Hadi terus menyelar pentadbiran kerajaan lalu yang didakwa menyebabkan negara dibelenggu pelbagai kemelut.

“Cukuplah menjadi pengajaran kepada rakyat terhadap kerajaan yang telah lama memerintah, sehingga mereka dibejati dengan penyakit rasuah.

“Kemudian, rakyat membuat perubahan kepada sebuah kerajaan yang menawarkan pelbagai janji, sehingga berani merombak asas Perlembagaan dan kedaulatan Islam, dan akhirnya telah dijatuhkan,” katanya merujuk era pentadbiran Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Kerajaan PN ketika ini dikecam hebat oleh pelbagai pihak, termasuk pembangkang kerana dilihat gagal menguruskan pandemik Covid-19 yang setakat ini meragut nyawa lebih 12,000 dan mencetuskan krisis ekonomi berpanjangan.

Pembangkang turut menuduh kerajaan menggunakan badan penguatkuasa untuk menekan dan memperolehi sokongan ahli politik bagi memperkukuhkan sokongan kepadanya.

Jumaat lalu, Muhyiddin menawarkan pelbagai tawaran kepada pembangkang dan Umno, termasuk mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen dan melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.

Ini dengan syarat mereka bersetuju menyokong beliau dalam usul percaya di Parlimen.

Muhyiddin membuat tawaran itu setelah 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya, yang dikatakan menyebabkan beliau hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, tawaran perdana menteri itu ditolak oleh semua parti pembangkang dan pimpinan Umno yang mendakwa ia cubaan Muhyiddin merasuah secara terbuka untuk kekal berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.